Pages

Tuesday, January 10, 2012

UKM Mencipta Sejarah Dengan Pembedahan Kaedah Lubang Kunci Ke Atas Bayi Berusia 14 Hari


Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Unit Pembedahan Pediatrik

Pusat Perubatan UKM (PPUKM) telah menjalankan pembedahan kaedah lubang kunci yang pertama di dunia ke atas bayi yang baru berusia 14 hari bagi mengeluarkan 95 peratus daripada organ pankreasnya.
Ini menjadikan pembedahan itu, sebagai pembedahan pertama seumpamanya (pancreatectomy) yang dilakukan ke atas bayi yang berusia di bawah 30 hari. 
Pembedahan itu terpaksa dilakukan untuk melindungi bayi itu dari kecacatan otak. Ia mengidap penyakit Persistent Hyperinsulinemic Hypoglycemia of Infancy  (PHHI) di mana pankreasnya mengeluarkan insulin yang berlebihan dari yang sepatutnya. 
Ini menyebabkan tahap glukosa dalam darahnya jatuh dan mendatangkan keadaan hypoglycemic (kekurangan gula kritikal) yang akan mengakibatkan kecacatan otak bayi itu. 
Biasanya bayi yang mengidap PHHI akan dirawat menggunakan ubat terlebih dahulu tetapi di dalam kes ini, bayi itu tidak memberi sebarang tindak balas positif terhadap ubatan yang diberikan.
Dr Dayang Anita Abdul Aziz Pakar Bedah Pediatrik dan Ketua Unit Pediatrik PPUKM yang melakukan pembedahan itu berkata: 
“Rawatan adalah dengan mengeluarkan hampir keseluruhan pankreas, tetapi ia mesti dilakukan dengan tepat. Jika terlalu banyak pankreas bayi itu dikeluarkan ia akan membawanya mengidap diabetes apabila dewasa kelak. Maka itu pembedahan perlu dilakukan dengan sempurna. Ia di kenali sebagai near total pancreatectomy.”

Dr Dayang mulanya agak gentar untuk melakukan pembedahan itu kerana ia belum pernah dilakukan keatas seorang bayi yang berusia begitu muda, ia aitu baru 14 hari dilahirkan.
“Sebelum ini kita mempunyai Profesor Ulung Tan Hock Lim salah seorang pakar bedah kanak-kanak terbaik di dunia, tetapi kami terpaksa melakukan pembedahan itu tanpa bimbingannya,” kata Dr Dayang.
Dr Dayang dibantu oleh satu pasukan pembedahan yang cekap. Ini memberinya keyakinan untuk melakukan pembedahan itu. 
Dengan menggunakan kamera laparoskopi yang dimasukkan melalui bahagian pusat pesakit, pankreas dapat di lihat dengan jelas di skrin berdefinisi tinggi tanpa perlu membuat torehan yang panjang di perut pesakit.
Dr Dayang kemudiannya memasukan suatu alat untuk melakukan pembedahan melalui torehan yang kecil yang tidak melebihi 3 mm di bahagian kiri dan kanan perut bayi itu.  
Berpandukan gambar yang berada di skrin, beliau memotong pankreas bayi itu dengan hirisan yang kecil untuk mengeluarkannya sedikit demi sedikit.  
Semua proses untuk menghiris dan memotong termasuk menjahit dilakukan dengan mengerakkan picu yang berada di luar perut bayi itu. Pembedahan mengambil masa selama dua setengah jam. 



“Ia adalah lebih mudah dari tanggapan saya, kerana pankreas seorang bayi adalah kecil, tetapi aspek teknikal yang agak susah kerana ia seperti membuat pembedahan dalam kotak mancis, jadi kita terpaksa mengeluarkannya (pankreas) yang telah di hiris satu demi satu,” tambahnya.
Dr Dayang berkata pembedahan lubang kunci adalah seperti membina kapal miniatur dalam sebuah botol dengan menggunakan angkup.
Perbezaannya adalah Dr Dayang menggunakan peralatan moden yang terkini sebagai angkup untuk mengeluarkan pankreas yang terletak di belakang perut.
Pembedahan itu telah berjaya dilakukan dan bayi tersebut telah pun pulang ke Terengganu. Dia kini berada dalam keadaan sihat dan tidak memerlukan rawatan susulan sehingga berusia 4 bulan kelak.
Pembedahan itu telah dilakukan dalam bulan Ogos lalu tetapi tidak diumumkan kerana pihak Pusat Perubatan perlu mendapat kepastian yang ia adalah yang pertama di dunia ke atas bayi yang berusia bawah 30 hari.
“Kami telah melakukan carian perubatan dan bayi yang termuda yang pernah melalui pembedahan laparoscopic pancreactectomy berusia 40 hari yang dilaporkan telah dilakukan di Vietnam” kata Dr Dayang.
Pembedahan lubang kunci kini sering dilakukan di hospital kerajaan dan sewasta. Tetapi apa yang membezakan PPUKM adalah kemudahan dan kepakaran melakukan pembedahan yang kompleks menggunakan kaedah lubang kunci untuk bayi yang baru lahir. Dr Dayang kini sedang dalam proses menulis mengenai pencapaiannya itu untuk di terbitkan dalam jurnal. 

Sumber : Portal Berita UKM





No comments:

Post a Comment