Pages

Tuesday, January 10, 2012

Cilibangi raih RM25,734 hasil anak pokok Oktober-Disember 2011


Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Ahmad Shahiddan Saidi

Cilibangi yang terkenal rangup, sentiasa segar dan sederhana pedas – hasil penyelidikan saintis UKM – berjaya menjana RM25,000 hasil jualan anak pokok saja dalam masa sebulan dari Oktober tahun lalu.
Menjelang Disember 2011, lagi RM738 diperolehi daripada jualan anak-anak pokok itu. Berikutan kejayaan menjual kepada 278 petani itu, “syarikat mensasarkan hasil jualan RM2 juta bagi tahun ini,” kata Rosmi Zamzuri Rosly Ketua Pegawai Eksekutif Serotech Sdn Bhd – syarikat terbitan UKM yang menguruskan pengkomersialan hasil R & D Prof. Madya Dr Ahmed Mahir Mokhtar Bakri. Ia dijangka pendapatan daripada penjualan Cilibangi jenis elite dan benih superior, cili Crunchious, produk hiliran Cilibangi dan tomato di samping khidmat perundingan profesional Serotech. Sebagai jualan perintis, lima tan cili Crunchious akan dipetik daripada seekar ladang di UKM pertengahan bulan ini dan diangkut oleh Agensi Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk dipasarkan di beberapa rangkaian pasar raya termasuk Giant. Ini akan diikuti dengan lagi tiga tan Cilibangi daripada seekar ladang lain juga dipasarkan oleh FAMA pada hujung bulan ini. Rosmi menjelaskan selain segolongan kecil petani yang membeli paling kurang tiga pokok, petani lain menggunakan simpanan mereka atau mendapatkan pembiayaan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan Agrobank untuk mengusahakan ladang Cilibangi.
   “Selain kumpulan pertama itu, lagi tiga peladang yang memiliki 15.5 ekar tanah sudah pun menempah 96,000 anak pokok bernilai RM288,000 bagi penanaman Januari hingga Mac tahun ini. “Namun mengikut perancangan Serotech, kejayaan Cilibangi dan Crunchious akan membuka jalan kepada pengeluaran tomato, beras, kiub Cilibangi, Cilibangi Organik pada tahun ini dan2013. Ini akan diikuti dengan Penapaian Cilibangi dan penanaman serai.” Serotech juga, katanya, akan merangka pelan bagi melancarkan program Bisnes Sosial Cilibangi dan menubuhkan UKM Land & myAgrosis. “Bisnes Sosial Cilibangi adalah cetusan idea Pro-Canselor UKM Tengku Panglima Besar Kedah Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.” Jelasnya ia direka khas untuk golongan warga istimewa berusia 20 tahun ke atas yang tidak lagi mampu mengikuti kegiatan diatur untuk kanak-kanak yang masih sihat. 
   
   Dalam projek ini Serotech akan menyediakan benih Cilibangi kepada kumpulan warga istimewa di Alor Star, Kedah. Mereka akan menanamnya sehingga ke peringkat anak pokok dan selepas dua atau tiga minggu, anak-anak pokok itu akan dijual kepada petani di Kedah dan kawasan lain di Malaysia.
Mereka akan dibayar menurut jumlah beg anak pokok yang sedia untuk dijual. Hasil penjualan ini akan digunakan bagi membayar gaji dan meluaskan lagi perniagaan mereka.
Mereka yang lebih berjiwa keusahawanan akan dibayar komisen bagi beg-beg anak pokok yang mereka jual sendiri. Projek ini, kata Rosmi bukan saja mewujudkan pekerjaan tetapi membina keupayaan keusahawanan dalam usaha UKM membantu golongan istimewa itu menyara dan membina penghidupan lebih selesa.
“Manakala UKM Land & myAgrosis adalah program siswazah tani menggunakan 50 ekar tanah UKM dipulangkan semula oleh sebuah agensi kerajaan. Bagi menjayakan projek ini kerajaan memberi peruntukan khas RM30 juta,” kata Rosmi.

   Buat masa ini Serotech Sdn Bhd mempunyai tapak semaian iaitu Rumah Cilibangi di UKM Bangi sebagai pusat penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D Innovation), Pusat Pameran, Pengeluaran Benih Terpilih Cilibangi dan juga Pengeluaran Anak Pokok Terpilih Cilibangi untuk kawasan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan sebahagian Negeri Sembilan. Di samping itu Serotech juga telah memulakan operasi di bahagian utara (Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) yang berpusat di Taiping, Perak sebagai cawangan tapak semaian yang di namakan Pondok Cilibangi (Cilibangi Hut) sebagai tempat pengeluaran anak pokok terpilih Cilibangi dan juga tempat pameran peringkat negeri. Pada tahun ini juga Serotech bercadang meluaskan cawangan Pondok Cilibangi di bahagian selatan berpusat di Johor untuk  membekalkan Anak Pokok Terpilih Cilibangi kepada petani di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Serotech akan membuka Pondok Cilibangi di Pantai Timur meliputi Pahang, Terengganu dan Pahang juga tahun ini. Buat masa ini pihak Serotech belum membuat perancangan membuka Pondok Cilibangi di Sabah dan Sawarak. Beliau menarik perhatian dalam memasarkan Cilibangi dan produk lain, Serotech bersandar kepada kekuatan lebih 30 tahun penyelidikan dilakukan oleh Dr Ahmed Mahir dan juga inovasi. Syarikat itu sudah pun mengambil seorang lagi saintis, Sharifah Nur Rahimah Syed Alias sebagai pegawai teknologi. Ia kini juga melantik dua anggota lembaga pengarah iaitu Ikmaluddin Ismail dan Kamarol Zaman Abdol Rahman. Anak pokok terpilih Cilibangi boleh dibeli melalui program easyCilibangi manakala bagi Crunchious (Cilibangi premium melalui perlesenan.

   Para petani yang berminat untuk menyertai program penanaman easyCilibangi atau perlesenan Crunchious boleh menghubungi Rosmi (CEO) 019-282 9621/ Cik Kalpana (Business Development Manager) 012 765 6688.
Alamat e-mel Serotech: www.serotech.com.my

Sumber : Portal Berita UKM

No comments:

Post a Comment