Pages

Tuesday, January 10, 2012

UKM dan Konsortium Penyelidik Antarabangsa Dedah Misteri Penyakit Pembunuh Melioidosis


Oleh Abdul Ghani Nasir

Penyelidik Malaysia dari UKM dan Institut Genom Malaysia bersama-sama rakan mereka dari United Kingdom dan Singapura telah berjaya membongkar mekanisme bakteria Burkholderia pseudomallei dalam menyebabkan penyakit pembunuh melioidosis. Hasil penemuan itu diterbitkan dalam jurnal Science, penerbitan terkemuka dunia mengenai penyelidikan saintifik asli, keluaran 11 Nov, 2011.
Mereka menemui sejenis  toksin yang dikenali sebagai Burkholderia Lethal Factor 1 (BLF-1) yang merencat sintesis protein dalam sel hos terinfeksi dan menyebabkan kematian sel.
“Akibat daripada gangguan kepada proses penting ini, sel-sel mula mati membawa kepada kegagalan organ dan kematian,” kata ketua kumpulan penyelidik Malaysia, Prof Rahmah Mohamed dari Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.
Beliau menyifatkan penemuan itu sebagai satu kejayaan besar dalam merungkai cara bakteria itu bertindak lantas mengakibatkan kematian pesakit yang dijangkiti.
Anggota lain kumpulan penyelidik Malaysia adalah Prof Sheila Nathan dan Dr Firdaus Mohd Raih, juga daripada Fakulti Sains dan Teknologi UKM di samping Profesor Emeritus Nor Muhammad Mahadi, Ketua Pengarah Institut Genom Malaysia (MGI).
Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam respons segera, menyifatkan penemuan ini amat penting dalam sejarah penyelidikan fundamental bukan saja kerana nilai sainsnya tetapi ianya menekankan betapa pentingnya kolaborasi di peringkat antarabangsa.


Prof Sharifah Hapsah berkata: “UKM berbangga dengan kejayaan mereka. Saya berharap berita ini akan menjadi sumber inspirasi kepada para penyelidik lain untuk mereka mengetahui bahawa impian besar  boleh dicapai. “
Penyelidik UKM dan MGI bekerjasama rapat dengan satu konsortium makmal dari United Kingdom terdiri daripada Institut Krebs di Universiti Sheffield, Universiti Exeter dan Makmal Sains dan Teknologi Pertahanan.
Penyelidik dari Institut Perubatan Pertahanan & Institut Penyelidikan Persekitaran, Makmal Kebangsaan DSO dan Institut Genom Singapura juga menyumbang kepada kajian ini.



Dalam satu temuramah dengan Portal Berita UKM, Prof Rahmah yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Hal-Ehwal Inovasi) berkata selepas lebih tiga dekad penyelidikan di UKM, misteri berkisar pada penyakit melioidosis itu dapat dirungkaikan.
Geran daripada Inisiatif R & D Genomik dan Biologi Molekul, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Dana Universiti Penyelidikan UKM, Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE) diberikan kepada kumpulan itu bagi membiayai program penyelidikan mengkaji fungsi protein hipotetikal Burkholderia pseudomallei melalui pendekatan genomik, biologi struktur dan bioinformatik.
Kejayaan itu jelas membuktikan betapa pentingnya kolaborasi antarabangsa memandangkan penyiasatan saintifik hari ini telah menjadi lebih multidisiplin, kata Prof Rahmah.
Konsortium ini yang berjumlah 28 orang termasuk penyelidik Malaysia kini merancang untuk memohon dana penyelidikan bagi menjalankan penyelidikan melampaui melioidosis. Mereka juga sedang meneroka potensi penggunaan BLF-1 dalam terapi kanser.
Beliau berkata masih belum ada vaksin untuk melioidosis, penyakit mengancam nyawa yang menjadi satu cabaran kesihatan di Malaysia dan negara-negara lain Asia Tenggara. Bakteria yang menyebabkan jangkitan penyakit itu hidup subur pada tanah lembab dalam cuaca panas di rantau ini.
Penyakit melioidosis mendapat perhatian sebagai penyebab kematian beberapa orang yang terlibat dalam satu operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di kawasan rekreasi Lubuk Yu di Maran, Pahang pada Julai 2010.
Seramai 10 orang lagi dilaporkan mati akibat penyakit itu pada 2011 di sekitar Empangan Bakun yang baru dibina di Sarawak. Mangsa dipercayai mengidap penyakit itu akibat bakteria pada tanah berlumpur di kawasan itu.
Prof Rahmah berkata: “Ini adalah satu penemuan penyelidikan yang boleh mencetuskan banyak faedah kepada kesihatan. Ia bukan saja menyelesaikan satu persoalan lama mengenai mekanisme molekul penyakit itu tetapi juga membuka ruang yang boleh membawa kepada pencegahan dan rawatan melioidosis terutama berikutan peningkatan jenis B. pseudomallei yang rintang kepada pelbagai jenis ubatan.”
Penemuan struktur protein BLF-1 boleh membawa kepada pembangunan vaksin dan rawatan lebih baik melioidosis pada masa depan, kata beliau.
“Dengan jumlah orang yang ingin memahami penyakit melioidosis, daripada ahli klinikal di hospital-hospital hinggalah kepada pakar biologi struktur di universiti, penemuan ini pasti akan mempunyai impak besar dalam cara kita menangani serangan melioidosis pada masa depan,” Prof Rahmah menambah.Geran Inisiatif R & D Genomik dan Biologi Molekul yang turut menyediakan dana pembiayaan penyelidikan adalah satu inisiatif untuk menjadikan genomik sebagai satu wadah utama bagi penemuan dan perkembangan bioteknologi di Malaysia. MGI adalah sebuah institut penyelidikan bioteknologi berasas jaringan yang menyokong projek kebangsaan dan antarabangsa berskala besar dalam genomik, biologi struktur dan bioinformatik. 

Sumber : Portal Berita UKM


No comments:

Post a Comment