Pages

Tuesday, January 10, 2012

PPUKM Cipta Alat Sekat Pendarahan Mangsa Nahas

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Mohd Hairul Azmi Jahid


Setiap kali mangsa kemalangan terutama yang membabitkan penunggang motosikal dibawa ke Jabatan Kecemasan Pusat Perubatan UKM (PPUKM), tulang pinggul (pelvis) mereka biasanya patah lantas berlaku banyak pendarahan. Tiga pakar perubatan dan seorang teknisyen PPUKM yang berdepan tragedi ini yakin sebuah alat perlu diadakan untuk membantu mengawal pendarahan mangsa untuk menyelamatkan nyawa mereka. Setelah beberapa bulan berbincang dan merancang, maka terciptalah alat dipanggil BRIM Binder – sebuah alat pengapitdigunakan untuk pesakit yang mengalami trauma kerana patah tulang pinggul atau pun tulang kaki seperti femur dan sebagainya, kata Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan UKM, Cheras, Profesor Madya Dr Ismail Mohd Saiboon. Beliau yang juga Pakar Perunding Perubatan Kecemasan, Pakar Bedah Trauma (Ortopedik), mencipta alat itu bersama penolong pegawai perubatan Bala Krishnan a/l Muniandy, Prof Madya Dr Muhammad Radhi bin Ahmad dan Prof Dato’ Dr Mohamad Abdul Razak.

Malah nama alat itu, BRIM adalah singkatan daripada nama mereka iaitu B untuk Bala, R untuk Radhi, I pula untuk Ismail dan M untuk Mohamad. Bagi memastikan BRIM Binder dapat menemui mangsa kemalangan dan digunakan di hospital-hospital, Dr. Ismail telah mendapat geran penyelidikan prototaip daripada dana inovasi UKM. Ia sudah pun dipatenkan dan akan dipasarkan oleh Compleo Technology Sdn Bhd, sebuah Syarikat Terbitan UKM. Dr Ismail memberitahu Portal Berita UKM bahawa Bala, Dr  Radhi dan beliau waktu itu bertugas di Jabatan Kecemasan HUKM manakala Prof Mohamad di Jabatan Ortopedik. “Kami selalu berhubungan pada  2006 dan sering berbincang mengenai pengalaman kerja. Dan telah terfikir kenapa tidak dicipta sesuatu alat untuk memudahkan kerja sambil membantu pesakit. Itulah sebenarnya faktor perangsang yang menyebabkan kami bertanya kenapa kiami tidak boleh mengadakan suatu alat yang amat diperlukan untuk menyelamat mangsa kemalangan”. Dr Ismail masih ingat lagi sebelum timbulnya idea mencipta BRIM Binder, doktor dan petugas lain di Jabatan Kecemasan terpaksa menggunakan kain cadar sahaja untuk mengikat punggung mangsa kemalangan kerana tidak ada alat khas yang boleh digunakan.


   “Sebenarnya kain cadar tidaklah ideal, kerana walaupun tujuannya untuk menutup balik tulang pelvis yang patah, tetapi kekuatannya untuk menutup dan memantapkan bahagian itu banyak bergantung kepada kaedah ia diikat.“Ada alat lain yang terdapat di pasaran pada masa itu, seperti “C Clamp” yang diperbuat di luar negara tetapi ia memerlukan pakar bedah untuk menggunakannya dan dengan itu tidak begitu sesuai untuk digunakan di sini kerana pakar bedah tidak dapat ikut bersama ambulans ke tempat kemalangan.“Jadi kami berfikir satu alat yang mudah digunakan termasuk oleh paramedik perlu diadakan. Di situlah timbul keazaman kami untuk mengadakan satu alat yang dapat membantu menyelamatkan nyawa tetapi mudah dipasang oleh sesiapa saja,” katanya.Mereka berempat telah berbincang bagaimana hendak mengadakan alat pengepit itu hingga mula membuat beberapa lakaran sampai dapat menghasilkan prototaip yang pertama.Mereka telah menemui seorang tukang kasut membawa lakaran mereka untuk menjahit alat itu menggunakan kulit dan PVC. Tukang kasut itu juga diberikan beberapa alat seperti thermoplastik spleen iaitu suatu setrap untuk dimasukkan kedalamnya.“Kami mendapatkan bahan-bahan itu dari bahan buangan dari Jabatan Ortopedik dan Prostetik HUKM. Maka itu kos membuatnya agak murah waktu itu. Bahan itu tidaklah begitu canggih tetapi sudah memadai untuk melepasi reka bentuk dan rekaan,” kata Dr Ismail.Mereka kemudian menerima sedikit suntikan pembiayaan daripada Dana Inovasi UKM untuk memperbaiki BRIM Binder pertama itu dan telah berjaya menghasilkan BRIM Binder kedua dengan alat sambungannya.Terbaru mereka menghasilkan apa dipanggil BRIM Immobilizer untuk dipatenkan. BRIM Immobilizer mempunyai ciri-ciri tertentu yang jauh lebih baik daripada BRIM pertama.Dengan dana inovasi, mereka  telah memperbaiki dan menghasilkan lebih kurang 20 buah BRIM. Alat itu telah diberikan kepada beberapa hospital secara percuma seperti Hospital Kulim, Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Sungai Petani, di Kedah serta juga hospital di Pulau Pinang dan Butterworth dan beberapa pusat kesihatan untuk digunakan sebagai percubaan, katanya. Berikutan dengan suatu soal selidik mereka mendapat maklum balas yang amat memberangsangkan kerana hampir 100% menyukainya dan mendapati ia amat berguna berbanding dengan apa yang mereka ada sekarang, iaitu sama ada pengepit atau sling, iaitu alat yang baru dicipta di luar negara.“Mereka dapati bahawa BRIM lebih banyak kelebihannya. Jadi kami sudah ambil testimoni mereka dan kini telah menerima banyak tempahan,” kata Dr Ismail.



Bagaimanapun dua daripada mereka sudah tidak lagi berada di UKMMC kerana Dr Radhi telah pun berpindah ke Cyberjaya University College of Medical Sciences, manakala Prof Dato’ Mohamad Razak pula sudah dilantik menjadi Naib Canselor di Alliance University College of Medical Sciences, Bukit Mertajam.

“Saya dan Bala masih lagi berada di PPUKM dan giat menghasilkan pula BRIM Immobilizer.

“Harga untuk BRIM Binder asal belum ditetapkan tetapi secara kasarnya, ia mungkin berharga lebih kurang RM1500 satu,” kata Dr Ismail. 

Sumber : Portal Berita UKM
http://www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-penyelidikan/895-ukm-medical-centre-created-binder-to-stop-bleeding-.html

No comments:

Post a Comment