Pages

Showing posts with label BULETIN KEBAJIKAN. Show all posts
Showing posts with label BULETIN KEBAJIKAN. Show all posts

Tuesday, June 7, 2011

Daripada Kegagalan Kita Belajar






Ramai orang takut untuk silap. Silap dan salah kadangkala dipandang sebagai sesuatu yang amat negatif dalam kehidupan insan. Ya, kalau kita lihat secara sekali lalu – silap dan salah – sememangnya adalah negatif.


Tetapi sebagai manusia, kita tak akan mampu mengelak diri daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Tidak kira sehebat mana pun kita mempersiapkan diri, akan wujud juga keadaan-keadaan di mana kita melakukan kesilapan.


Ramai orang fobia dengan kesalahan dan kesilapan. Kerana mereka takut, ada celoreng hitam dalam perjalanan kehidupan mereka. Namun sebenarnya, kegagalan, kesilapan, kesalahan bukanlah sesuatu yang negatif 100%.
Kita patut memandang kegagalan, kesilapan dan kesalahan itu daripada luar kotak kebiasaan.


Kita ingat kita dah faham


Kadangkala, kita bersedia hingga sampai tahap kita merasakan bahawa kita telah faham atau merasakan bahawa kita telah mampu melakukan terhadap sesuatu perkara.


Untuk soalan periksa kita rasa kita sudah boleh jawab semua jenis soalan. Untuk tugasan kerja kita rasa kita mampu melakukan apa sahaja yang mendatang.


Namun tiba-tiba, kita melakukan kesilapan. Apa yang kita faham rupanya tidak tepat. Apa yang kita siap sediakan rupanya tidak kena dengan apa yang dikehendaki dalam pekerjaan. Kita telah tersalah. Kita gagal mendapat keputusan yang cemerlang. Kita gagal dalam melakukan kerja yang terbaik.


Di sini kalau keimanan itu wujud bersama kita, pertama sekali kita akan pulang bersangka baik kepada Allah SWT.


“Mustahil Allah nak zalim pada aku.”


Hal ini kerana, jelas wujud di dalam Hadith yang ke-24, dalam Hadith 40 Karangan Imam An-Nawawi Rahimahullah: Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Ia berfirman : “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman…” Hadith Riwayat Muslim.


Maka kita akan melihat semula kesilapan kita itu.


“Kenapa aku silap? 
Di mana aku silap? 
Macam mana aku boleh tersilap.”


Dan ketahuilah, apabila kita muhasabah semula, kita akan mendapat satu perkara baru. Pengajaran baru. Yang mana sekiranya Allah izin kita tidak silap dalam kesilapan kita tadi, kita tidak akan mempelajari pengajaran tersebut. Kita tidak akan mengetahuinya. Namun dengan kasih sayang Allah SWT, dengan hikmahNya yang tersangat luas, Allah ingin kita melihat sesuatu. Sebab itu disilapkan kita.
Tidakkah kita memerhatikan?


Keberanian mengambil risiko


Apabila mempunyai rasa tidak takut untuk melakukan kesilapan, tidak takut untuk gagal, maka kita akan mempunyai kekuatan untuk mengambil risiko. Semestinya mengambil risiko sekiranya boleh, kita patut elakkan. Namun akan wujud situasi-situasi di mana, walaupun selepas perkiraan yang rapi, tetap wujud risiko yang menanti. Maka di situlah ketidak takutan untuk melakukan kesilapan tadi memberikan kekuatan untuk mengecas keberanian kita dalam mengambil risiko tadi.
Hal ini kerana, kita yakin bahawa, sekiranya kita tersilap, kita akan mempelajari sesuatu yang baru lagi.


Membaca kehidupan, kadangkala 1000 kali lebih bermakna dari membaca buku


Akhirnya apabila mendalami perkara ini, yakni belajar daripada kesilapan ini, kita akan melihat bahawa kesilapan, kegagalan, kesalahan, itu semua adalah pelengkap kepada kehidupan. 
Orang yang memerhatikan kesilapannya semula, kegagalannya semula, akan mempunyai kesedaran yang lebih tinggi, kepekaan yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak pernah peduli akan kegagalan mereka.


Inilah dia apa yang suka saya katakan sebagai ‘membaca kehidupan’. Bukan sekadar bergantung kepada teori-teori di dalam buku semata-mata. Namun melihat juga apa yang telah kita lalui di dalam kehidupan kita.


Belajar daripada kesilapan, belajar daripada kegagalan, itu semua banyak membantu untuk membina satu peribadi yang lebih mantap.


Tidak semestinya perlu silap dahulu. =)


Ada orang akan berkata kepada saya:


“Kalau macam itu, kita tak payah susah-susah belajar. Biar gagal dulu. Lepas gagal baru belajar.”


Saya tersenyum dan tertawa. Beginilah, mudahnya saya katakan begini:


“Kalau ada orang yang dah pernah terjun dalam api, dan kemudian cakap api itu panas, bersama bukti yang kukuh menunjukkan kecelakaan yang boleh dibawa oleh penerjunan ke dalam api(ada kesan kulit terbakar pada tubuh dia dan sebagainya), agak-agak wujudkah keperluan untuk kita turun ke dalam api juga?”


Tidak semestinya kita perlu silap dahulu. Belajar daripada kesilapan orang lain juga adalah salah satu seni. Namun, apabila tiba masanya bila kita tidak lagi mempunyai pilihan melainkan berhadapan dengan risiko untuk melakukan kesilapan, maka jangan takut. 


Bersangka baiklah kepada Allah SWT, dan bergeraklah.


Kalau berjaya itu alhamdulillah. Kalau gagal itu, kita belajar lagi. Dan semestinya, bila kita gagal, kita akan nampak sesuatu yang selama ini rupanya kita tidak perasan, melainkan apabila kita gagal.


Kadang-kadang, kejayaan atas angin kita itu, tak punya makna.


Tahukah apa itu kejayaan atas angin? 
Itulah dia kejayaan palsu.


Contoh, kita berjaya di dalam peperiksaan bukan kerana kita pakar atau faham dalam mata pelajaran tersebut. Tetapi bernasib baik. 
Bernasib baik kerana sudah ada soalan bocor. 
Nasib baik kerana apa yang kita baru baca pada malam peperiksaan masuk. 
Nasib baik kerana, pensyarah tambahkan markah. 
Nasib baik kerana, kita sudah buat banyak latih tubi, dan jenis-jenis soalan tersebut masuk periksa.


Ini adalah kejayaan yang pada saya tak ada maknanya. Sebab kita sebenarnya tidak akan mampu memanfaatkan ilmu di dalam hal ini. Kita sebenarnya tidak pakar. Kita sebenarnya bodoh. Kita hanya bernasib baik.
Berbelas A, atau segulung ijazah tidak bermakna sekiranya kita berjaya demikian.


Maka, dalam situasi ini, pada saya, kalau kita gagal, kalau kita tidak mendapat markah yang baik, kadangkala itu lebih baik. 


Moga-moga apabila kita gagal itu, kita tergerak untuk belajar lagi, melihat semula mengapa kita gagal. 
Di mana kita gagal. Agar kita belajar lebih banyak lagi. Faham dengan lebih baik lagi.


Sebab itu kadang-kadang, orang-orang yang bermarkah rendah lebih memahami mata pelajaran, atau pengkhususan dalam kos yang diambilnya. Kerana bila mereka mendapat markah yang rendah, mereka mengulangkaji semula. Belajar semula. Memahaminya semula. Berbanding mereka yang ‘bernasib baik’, cemerlang dan kemudian tidak melihat semula.



Penutup: Melihat kembali hikmah dalam kegagalan. Belajar dari kesilapan.


Pernah seorang pakcik berkata kepada saya, selepas saya kemalangan kenderaan.


“Memang begitulah. Nanti lepas ni, mesti lebih cekap bawa kereta.”


Saya tertawa. Tetapi memang betul. Selepas kemalangan itu, saya jadi lebih cekap. Lebih cermat. Lebih peka. Lebih sensitif apabila memandu. Tidak leka dan lalai.


Belajar daripada kesilapan.


Tetapi apakah kita mesti ‘mengkemalangankan’ diri kita baru nak sedar?


Tidak semestinya. Kita boleh mula belajar daripada kemalangan orang lain dahulu. Namun begitulah, kadangkala kita dah belajar dah daripada kemalangan orang lain. Kita dah usaha dah untuk cermat. Kita rasa kita dah paling sensitif dah. Namun, apabila Allah izin kita kemalangan juga, akan terbukalah pintu-pintu ‘kecacatan’ yang selama ini rupanya kita tidak lihat.


Maka daripada kemalangan itu kita belajar lagi. Menjadi yang lebih baik lagi. Lebih baik dari apa yang kita rasa selama ini kita telah baik.


Dan begitulah dalam hal-hal yang lain. Kegagalan, kesilapan, kesalahan, semua itu hakikatnya adalah pengajaran halus daripada Allah SWT. Daripada semua itu, kita belajar,mengambil iktibar. Menjadi yang lebih baik lagi.





Wednesday, March 24, 2010

RESPON ISU SHORT SEM FST



Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.
Berikutan daripada isu 'short sem' yang melanda pelajar tahun 2 FST baru-baru ini, PMFST telah mendapat respon daripada Pengarah Pusat Pengajian Umum berkenaan masalah tersebut. Bagi setiap pelajar tahun 2 yang telah mendaftarkan nama kepada PMFST pada minggu lepas, nama tersebut telah diterima dan akan didaftarkan sendiri oleh pihak PPU pada 3-5 mei 2010 ini. Namun begitu, subjek yang akan didaftarkan telah ditetapkan iaitu subjek Pengurusan Emosi set 1 bagi taraf kursus U2 dan bagi taraf kursus U3, set baru akan dibuka untuk subjek Sejarah Pemikiran.
Bagi mana-mana pelajar yang namanya terdapat dalam senarai dan ingin menarik diri dari kursus tersebut, anda bolehlah membatalkan nama di PPU sendiri sebelum 30 April 2010 ini. Sekiranya nama telah didaftarkan pada 3-5 mei ini nanti dan baru sahaja anda berasa ingin menarik diri akibat masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan, anda bolehlah menggugurkan nama di PPU sebelum tarikh 14 mei 2010 dengan berserta surat.

Sebarang masalah dan pertanyaan lanjut bolehlah berhubung terus dengan En. Shahmi (PPU) di talian: 013-89216872 atau anda juga boleh menghubungi Yang Dipertua PMFST, saudara Aiman Zafri Bin Amiruddin di talian : 013-4429964 dan Exco Kebajikan PMFST, saudara Asarulazlan Bin Ariffin @ Aripin di talian : 013-4860493.


-Kebajikan Anda Keutamaan Kami-


Saturday, March 20, 2010

PMFST PERJUANGKAN ISU "SHORT SEM" PELAJAR FST

Yang Dipertua dan Exco Kebajikan PMFST membuat rundingan di
PPU mengenai masalah 'short sem' pelajar tahun 2 FST

Bermulanya sesi pendaftaran bagi semester tiga pada minggu yang lepas, PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI(PMFST) telah didatangi oleh beberapa pelajar bagi membuat aduan mengenai masalah yang terjadi kepada pelajar Fakulti Sains Dan Teknologi(FST) tahun 2 yang tidak dapat mendaftar kursus yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Umum(PPU) bagi kursus yang berstatus U2 dan U3.

Sehubungan dengan itu, langkah awal telah diambil oleh Yang Dipertua(YDP) PMFST sendiri , saudara AIMAN ZAFRI BIN AMIRUDDIN bersama-sama Exco Kebajikan PMFST, ASARULAZLAN BIN ARIFFIN telah ke PPU sendiri bagi mengemukakan permasalahan ini selepas saudara FAIZ BIN ISMAIL iaitu MPP UMUM MAHASISWA telah pergi menemui Pengarah Pusat Pengajian Umum bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang melanda pelajar FST khususnya pelajar tahun 2.

Sistem baru yang mengatakan bahawa pelajar tahun 2 mulai semester ini akan menjalankan Latihan Industri(LI) pada semester akhir tahun 3. Mahu tidak mahu, kebanyakan pelajar pasti ingin mengambil semester pendek kali ini bagi mengelakkan mereka terbeban dengan jumlah unit yang banyak pada tahun yang berikutnya. Ini juga bagi mengelakkan kebanyakan pelajar tahun 2 untuk tidak habis pengajian pada masa yang ditetapkan atau lebih familiar lagi dengan istilah 'extend'. Dengan slogan "KEBAJIKAN ANDA KEUTAMAAN KAMI" pihak PMFST telah bekerjasama dengan wakil tahun 2 program Biokimia, Teknologi Kimia, Fizik dan banyak wakil program lagi bagi mengumpulkan senarai nama pelajar yang ingin mendaftar short sem ini dengan pelbagai alternatif yang digunakan iaitu nama telah dikumpulkan melalui Facebook, blog dan juga SMS.

Lanjutan perjalanan permohonan ini akan kami uar-uarkan dari semasa ke semasa dan kami dari pihak PMFST mengharapkan doa' dari rakan-rakan sekalian agar permohonan ini diterima dan berjalan lancar supaya kita, selaku pelajar FST akan dapat menimba ilmu dengan penuh dedikasi.


KEILMUAN, KEBAJIKAN, KESATUAN


Wallahul a'lam