Pages

Saturday, December 3, 2011


KISAH SARIZAN SABARI MENDAPAT PERHATIAN BANYAK PIHAK

Peristiwa yang menimpa saudari Sarizan binti Sabari, pelajar tahun akhir Oleokimia Fakulti Sains dan Teknologi berjaya membuka mata semua mahasiswa untuk menjadi lebih prihatin dan mengambil berat terhadap isu kebajikan pelajar-pelajar Fakulti Sains dan Teknologi. Barisan pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi (PMFST) ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga buat semua warga FST yang sudi membantu dalam memberikan idea dan maklumat secara terus kepada kami.

Saudari Sarizan Sabari merupakan seorang pelajar yang rajin dan aktif berasal dari Tawau, Sabah. Peristiwa 29 November yang lalu meninggalkan kenangan hitam dalam hidup beliau di mana beliau telah ditemui terbaring di laluan belakang Pusanika dengan kecederaan yang teruk di kepala. Menurut abangnya, laporan doktor menunjukkan bahawa Saudari Sarizan mengalami darah beku di kepala yang menyebabkan beliau terpaksa menjalani pembedahan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk. Peristiwa ini menjadi lebih misteri apabila sehingga sekarang masih tiada lagi saksi yang tampil bagi menceritakan perkara sebenar yang berlaku terhadap saudari Sarizan. Bagi mana-mana mahasiswa/i yang mungkin berada di sekitar tempat kejadian, 29 November 2011 sekitar 12.30 tengah hari diseru untuk tampil dan memberikan maklumat dan menjadi saksi, bukti keprihatinan kita kepada rakan-rakan seperjuangan.

Satu lawatan bagi mengikuti perkembangan saudari Sarizan telah diadakan pada 1 Disember yang lalu. Antara yang terlibat dalam lawatan tersebut ialah rakan sekuliah saudari Sarizan, Siti Zubaidah Ismail, wakil dari pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi, Pengerusi Biro Kebajikan & Aduan PMUKM, Mohd Izzudin Mohd Pisol, serta MPP Kamarul Hatem Muhammad, Biro Informasi & Penerangan PMUKM.

Sementara di kawasan kampus Bangi, satu pungutan derma kilat telah dilancarkan bagi membantu dalam mengurangkan beban yang terpaksa ditanggungi oleh keluarga saudari Sarizan. Manakala pada waktu malamnya, barisan pelajar Oleokimia, yang terdiri dari pelajar tahun 2 dan 3 telah mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin berjemaah bagi mendoakan kesejahteraan buat saudari Sarizan Sabari.

Sekali lagi barisan pimpinan PMFST mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dalam menghulurkan bantuan dan memberikan maklumat.

~kebajikan anda keutamaan kami~


Dari kiri: Pengerusi Biro Kebajikan & Aduan PMUKM, Mohd Izzudin Mohd Pisol, MPP Kamarul Hatem Muhammad, Biro Informasi & Penerangan PMUKM, serta abang saudari Sarizan.

Abang kepada saudari Sarizan sedang menceritakan perkembangan adiknya





No comments:

Post a Comment