Pages

Wednesday, August 18, 2010

Puasa dan Sains berkait???

(Artikel ini diterbitkan Majalah Kosmik DBP, bulan September 2008): Selepas ibadah solat yang merupakan rukun Islam yang kedua, umat Islam diwajibkan melaksanakan rukun Islam yang ketiga, iaitu berpuasa di musim Ramadan. Perintah ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, “Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelummu semoga kamu bertakwa.”

Umat manusia sebelum ini telah pun mengamalkan puasa dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh penganut agama Hindu berpuasa dan puasa mereka dalam bahasa Sanskrit dikenali sebagai upavaasa. Golongan Yahudi berpuasa pada hari Yom Kippur. Mengikut kitab Perjanjian Lama dalam bab Exodus 34:28, Nabi Musa bermunajat kepada Tuhan selama 40 hari dalam keadaan “tidak menjamah roti dan air.” Bagi penganut Kristian Roman Katolik pula musim berpuasa dikenali sebagai Lent. Dalam kitab Perjanjian Baru dalam bab Matthew 4:2 dan Luke 4:2, Nabi Isa dilaporkan berpuasa selama 40 hari 40 malam.

Dalam Islam, puasa bermaksud menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari. Secara dasarnya, puasa mempunyai beberapa kategori, pertama, puasa wajib sebagai contoh puasa kifarat, puasa nazar dan puasa Ramadan. Kedua, puasa sunat, seperti puasa enam hari pada bulan Syawal, puasa hari Arafah, hari Asyura pada 10 Muharam dan yang seumpamanya. Ketiga, puasa makruh, iaitu puasa yang dilakukan secara terus menerus pada sepanjang masa, kecuali pada sambutan dua hari raya dan hari-hari tasyrik. Keempat, puasa yang haram dilakukan, iaitu puasa pada hari pertama sambutan Aidilfitri, hari pertama sambutan raya Haji dan tiga hari tasyrik iaitu pada tanggal 11,12 dan 13 Zulhijah.

Ramadan merupakan satu bulan yang mulia. Umat Islam diwajibkan berpuasa di bulan ini justeru ia boleh dianggap sebagai satu Bulan Latihan dan Pendidikan. Dalam bulan inilah al-Quran diturunkan ke langit dunia sebelum diturunkan kepada nabi secara berperingkat-peringkat (rujukan: al-Asas fit Tafsir, Said Hawa). Allah berfirman, “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) pada bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Al-Baqarah: 185)

Hukum-hukum Puasa

Puasa di bulan Ramadan diwajibkan ke atas umat Islam bermula pada tahun ke-2 Hijrah dan ia wajib dilakukan selama sebulan. Sesiapa saja dari kalangan Muslim yang berakal (tidak gila), mencapai umur baligh (cukup umur) serta kuat lagi sihat wajib berpuasa.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, an-Nasa’i dan Baihaqi, nabi bersabda, “Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadan bulan yang penuh berkat. Allah memfardukan ke atasmu berpuasa dalamnya. Sepanjang bulan Ramadan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…”

Seperti ibadah-ibadah yang lain puasa mempunyai rukun-rukunnya. Rukun-rukun itu ialah, pertama, berniat pada malam hari (antara maghrib dan subuh) dan kedua, menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hinggalah terbenam matahari. Antara perkara yang boleh membatalkan puasa Ramadan ialah:

  • Makan dan minum dengan sengaja di siang hari (dimaafkan jika seseorang melakukannya kerana terlupa).
  • Muntah dengan sengaja (dimaafkan jika ia berlaku secara tidak sengaja).
  • Mengeluarkan air mani pada siang harinya, contohnya melalui perbuatan onani. Jika air mani keluar kerana bermimpi ia tidak membatalkan puasa.
  • Gila.
  • Bersetubuh dengan perempuan di siang hari.
  • Wanita yang datang darah haid atau nifas.

Islam tidak membebankan umatnya dengan sesuatu yang mereka tidak mampu lakukan. Berhubung dengan ini Allah berfirman, “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka) kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui.” (al-Baqarah ayat 184)

Justeru golongan tertentu yang keuzuran diizinkan untuk tidak berpuasa di musim Ramadan. Mereka ialah:

  • Orang yang sakit.
  • Orang yang dalam perjalanan jauh melebihi 53 batu atau 85 km (Rujukan: Fatwa Sheikh Atiyyah Saqr, Islamonline.net, 2/10/06).
  • Orang tua yang lemah
  • Wanita yang hamil atau yang menyusukan anak.

Mereka yang tidak berpuasa tanpa keuzuran telah melakukan satu dosa besar. Berhubung dengan ini Nabi bersabda, “Sesiapa berbuka puasa satu hari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Takwa Itulah Matlamat

Puasa ada matlamatnya. Dalam surah al-Baqarah ayat 183 Allah berfirman, “Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelummu semoga kamu bertakwa.” Dalam ayat ini dinyatakan dengan jelas tentang matlamat berpuasa iaitu, untuk mencapai status takwa. Mengapakah takwa menjadi matlamat dan tidak perkara-perkara yang lain?

Sebenarnya orang yang bertakwa merupakan orang kelas pertama yang tidak ada tolok bandingannya. Dia tidak akan menipu, tidak akan memberi dan menerima rasuah, tidak akan menyalahgunakan kuasa, tidak berbohong, tidak mencuri, berzina, merogol, membunuh, memaki hamun, bertindak zalim dan sebagainya. Dia adalah insan yang paling mulia. Berhubung dengan ini dalam surah al-Hujurat ayat 13 Allah berfirman, “Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu.”

Takwa merupakan kekuatan dalaman yang hebat lagi unik. Ledakannya mampu mengukir sejarah baru di dunia. Sahabat Omar al-Khattab pernah bertanya kepada sahabat Ubai bin Kaab tentang maksud takwa. Ubai berkata, “Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?” Jawab Omar, “Ya, pernah.” Ubai bertanya lagi, “Apa yang kamu lakukan ketika itu?” Omar berkata, “Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh (syammartu wajtahadtu).” Berkata Ubai, “Itulah takwa.” Dari jawapan Ubai bin Kaab ini dapatlah difahami bahawa takwa bermaksud “berhati-hati dalam hidup agar tidak melakukan sesuatu yang haram serta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap amal ibadah yang dituntut” (rujukan: Tafsirul Quranil Azim, Ibn Kathir).

Sahabat Abdullah ibn Masud mentafsirkan “sebenar-benar takwa” sebagai “melaksanakan taat tidak bermaksiat, sentiasa mengingati-Nya dan tidak alpa serta sentiasa bersyukur dan tidak kufur” (rujukan: al-Asas fit Tafsir, Said Hawa). Kemuncak kepada takwa ialah berhati-hati terhadap perkara yang harus kerana kadangkala apabila seseorang tenggelam dalam kelazatan yang diharuskan, dia lupa daratan. Ketika itu berkemungkinan dia akan terjebak dalam kemaksiatan. Sebagai contoh, jika seseorang bercakap terlalu banyak walaupun tentang perkara yang harus, dikhuatiri akhirnya dia mengatakan sesuatu yang haram seperti mengumpat. Demikian juga jika seseorang asyik berbelanja walaupun pada perkara yang harus, dia akhirnya akan mengabaikan hak mereka yang memerlukan. Berhubung dengan ini Nabi bersabda, “Seseorang tidak akan sampai ke makam takwa sehingga dia meninggalkan sesuatu yang harus kerana ingin menjaga dirinya dari sesuatu yang dilarang.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Ibn Majah dan mengikut Tirmizi, hadis ini bertaraf hasan gharib.

Tidak kesemua mereka yang beriman bertakwa kepada Allah. Justeru, dalam surah Ali Imran ayat 102-103, Allah mengarahkan mereka yang beriman agar bertakwa melalui firman-Nya, “Wahai mereka yang beriman bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” Puasa dapat membantu mereka yang beriman mencapai status takwa ini.

Adab-adab Berpuasa Ramadan

Latihan dan pendidikan yang terdapat di dalam Ramadan tidak akan menghasilkan takwa melainkan jika adab-adabnya dijaga dan dipelihara. Antara adab-adab itu ialah:

1- Berbuka dengan kurma dan air serta tidak berlebihan dengan makan minum. Anas bin Malik meriwayatkan, “Rasulullah berbuka dengan memakan beberapa ruthaab (iaitu kurma basah) sebelum solat, kalau tidak ada kurma basah maka baginda berbuka dengan kurma kering, kalau tidak ada maka dengan meneguk air beberapa teguk.” (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)

2- Bersegera berbuka puasa. Nabi bersabda, “Manusia berada dalam keadaan baik selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3- Bersahur di pagi hari dan melewatkan pengambilannya. Nabi bersabda, “Makanlah sahur kerana sesungguhnya pada sahur itu ada berkat.” (Riwayat Bukhari) Zaid bin Thabit pula menceritakan, “Kami pernah bersahur bersama nabi kemudian kami bangun untuk melakukan solat (subuh).” Kemudian Zaid bin Thabit disoal, “Berapa lama masa antara keduanya (yakni antara makan sahur dan solat subuh)?” Berkata Zaid, “Sekadar membaca 50 ayat Al-Quran.” (Riwayat Bukhari)

4- Bersikap dermawan. Abdullah Ibn Abbas meriwayatkan, “Adalah Rasulullah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan.” (Riwayat Bukhari)

5- Bertadarus al-Quran secara konsisten. Abdullah Ibn Abbas meriwayatkan, “Jibrail menemui Nabi pada setiap malam Ramadan untuk bertadarus al-Quran, dan Rasulullah ketika itu lebih cepat mengerjakan kebaikan, lebih cepat daripada angin yang berhembus.” (Riwayat Bukhari)

6- Melaksanakan solat tarawih. Nabi bersabda, “Barang siapa yang
menghidupkan malam-malam Ramadan karena beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Diriwayatkan daripada Abu Salamah bin Abdur Rahman, sesungguhnya dia telah bertanya kepada Aisyah, “Bagaimana salat malam Rasulullah di bulan Ramadan? Aisyah menjawab, “Rasulullah tidak pernah melakukan salat malam lebih daripada sebelas rakaat baik di bulan Ramadan ataupun di bulan-bulan yang lain…” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

7- Beriktikaf terutama pada 10 terakhir Ramadan. Diriwayatkan daripada Aisyah, “Adalah Rasulullah mengamalkan iktikaf pada sepuluh hari terakhir di bulan Ramadan sehinggalah baginda wafat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

8- Mengejar Lailatulqadar. Nabi bersabda, “Berusahalah untuk mencari lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Pada ketika itu Nabi menyuruh umatnya memperbanyakkan bacaan doa yang bermaksud, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Engkau sukakan kemaafan maka ampunlah dosa-dosaku.” (Riwayat Tirmizi – Hasan Sahih)

9- Mengawal nafsu, mengelokkan perangai serta memelihara lidah. Nabi bersabda, “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dan amalan keji, maka tidak ada bagi Allah hajat (untuk menerima) amalannya meninggalkan makan dan minum.” (Riwayat Bukhari)

10- Merangsang keluarga agar beramal salih. Aisyah meriwayatkan, “Sesungguhnya Nabi apabila memasuki sepuluh hari terakhir di bulan Ramadan benar-benar menghidupkan malam (untuk beribadah) dan membangunkan isteri-isterinya (agar beribadah) dan baginda menguatkan ikatan sarungnya (iaitu tidak menggauli isteri-isterinya).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

11- Melaksanakan tanggungjawab sosial iaitu mengeluarkan zakat fitrah. Abdullah ibn Omar berkata, “Rasulullah mewajibkan zakat fitrah satu sha’ kurma atau satu sha’ syair ke atas budak, orang yang merdeka, laki-laki, wanita, anak-anak dan orang tua dari kalangan Muslimin, dan baginda memerintahkan agar (zakat tersebut) dikeluarkan sebelum manusia keluar untuk melaksanakan solat Aidilfitri.” (Riwayat Bukhari)

Mengeluarkan zakat fitrah merupakan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan di musim Ramadan. Ia difardukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Mereka yang dikenakan zakat itu ialah:

  1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau harta melebihi keperluannya serta tanggungannya untuk malam dan pagi hari Ramadan.
  2. Anak yang lahir sebelum matahari terbenam pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.
  3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan keislamannya.
  4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari di akhir Ramadan.

Mengejar Lailatulqadar

Apakah yang dikejar dalam hidup ini? Bagi ramai kanak-kanak di Britain, yang dikejar ialah kekayaan dan glamor. Itulah hasil kajian yang dilakukan ke atas 2500 kanak-kanak Britain berumur 10 tahun ke bawah baru-baru ini. Bagi mereka perkara yang paling penting dalam hidup ialah menjadi kaya dan terkenal. Kajian itu juga menunjukkan bahawa bagi kanak-kanak itu, pemain bola sepak Wayne Rooney adalah lebih terkenal daripada Nabi Isa (Jesus). Hal ini dilaporkan di http://www.news.com.au/ bertarikh 19 Disember 2005 di bawah tajuk Money, Fame Most Important: Kids.

Mengikut satu kajian oleh Pew Research seperti yang dilaporkan di World Street Journal Digital Network (http://blogs.wsj.com), bertarikh 16 June 2008, rakyat Amerika menganggap perkara yang paling utama dalam hidup mereka ialah:

  • Mempunyai masa untuk melakukan apa yang disukai (67%).
  • Berjaya dalam kerjaya (61%).
  • Mempunyai anak (61%).
  • Berkahwin (53%)
  • Menjadi sukarelawan atau dermawan (52%)
  • Berpegang pada agama (52%).
  • Menjadi kaya (13%)

Di bulan Ramadan umat Islam dididik untuk mengejar benda yang paling penting lagi utama iaitu anugerah Allah apatah lagi bersempena lailatulqadar atau malam ‘al-Qadar’. Lailatulqadar merupakan satu malam yang luar biasa. Dalam surah al-Qadar ayat 1 – 5, Allah berfirman, “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang kebesaran malam lailatulqadar itu? Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turunlah malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.”

Pada malam inilah Allah menurunkan al-Quran sepenuhnya dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi secara berperingkat-peringkat. Hal ini dilaporkan dalam al-Jamik Li Ahkamil Quran oleh Imam Qurtubi, dan ia merupakan pendirian sahabat Abdullah ibn Abbas, Imam Qatadah, Said ibn Jubair, Ikrimah, Mujahid dan yang lain-lainnya.

Mengapakah ia dinamakan sebagai malam ‘al-Qadar’? ‘Al-Qadar’ bermaksud ketetapan. Hal ini disebabkan pada malam itu ditulis segala ketetapan yang berkaitan dengan hidup, mati, rezeki, sakit, sihat, bahagia dan yang seumpamanya bagi tahun yang berikutnya. Berhubung dengan ini Allah berfirman, “Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengutus rasul-rasul.” (ad-Dukhan 4-5) Hal ini dilaporkan di dalam al-Jamik Li Ahkamil Quran oleh Imam Qurtubi dan Tafsirul Quranil Azim oleh Imam Ibn Kathir.

Malam ‘al-Qadar’ memang merupakan satu malam yang istimewa. Beribadah pada malam ini adalah lebih baik daripada beribadah selama seribu bulan sebagaimana yang Allah nyatakan dalam surah al-Qadar ayat 3, “Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan”.

Berhubung dengan ini Imam At-Tabari dalam Tafsir at-Tabari berkata, “Pendapat yang paling tepat ialah pendapat yang mengatakan ‘lebih baik dari seribu bulan’ bermaksud ‘beramal pada malam al-Qadar sama pahalanya dengan beramal dalam seribu bulan yang tiada dalamnya malam al-Qadar (iaitu beramal dalam bulan-bulan selain Ramadan)’.”

Tambahan daripada itu, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam kitab al-Muwatta’ yang menjelaskan bahawa ganjaran pahala seribu bulan itu adalah sebagai gantian kerana umur umat di zaman ini adalah lebih pendek berbanding umat di zaman sebelum ini, sebagai contoh umat Nabi Nuh.

Mengejar Anugerah Allah

Mengejar malam al-Qadar mendidik umat Islam agar sentiasa mengejar untuk mendapatkan anugerah Allah dan bukannya anugerah manusia. Anugerah Allah terlalu istimewa. Cubalah bayangkan, siapakah yang sanggup memberi bonus 83 tahun kepada pekerjanya yang bekerja hanya pada satu malam? Tiada. Namun Allah sanggup memberi pahala 1000 bulan kepada mereka yang beramal pada satu malam iaitu malam al-Qadar. 1000 bulan menyamai 83 tahun. Anugerah Allah ialah ganjaran pahala dan kemuncaknya syurga atau jannah dan ia merupakan anugerah yang kekal abadi. Dalam sebuah hadis kudsi Allah berfirman, “Aku (Allah) telah sediakan bagi hamba-Ku yang salih (nikmat) yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah dirasai oleh hati manusia.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Untuk mencapainya amal ibadah perlu dilaksanakan dengan cara yang betul dan hati yang ikhlas secara bersungguh-sungguh. Allah berfirman, “Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah di samping melakukan kebaikan baginya ganjaran dari sisi Tuhannya, tidak ada ketakutan ke atasnya dan dia tidak akan berdukacita.” (Surah Baqarah ayat 112)

Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir berkata dalam Tafsirul Quranil Azim, “(Ayat ini) menjelaskan, Allah hanya menerima amal yang mempunyai dua kriteria, pertamanya ikhlas dan keduanya muhsin. Muhsin bermaksud melakukan sesuatu sesuai dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Jika sesuatu amal dilakukan dengan tulus ikhlas tetapi caranya tidak mengikut (syariat), ia tidak diterima (oleh Allah).”

Justeru melaksanakan amal salih dengan hati yang ikhlas dan cara yang betul sepatutnya menjadi agenda utama yang dikejar oleh umat Islam. Inilah yang dimaksudkan Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Haj ayat 46 yang bermaksud, “Harta benda dan anak pinak adalah perhiasan kehidupan di dunia. Al-Baqiah as-Solihat adalah lebih baik ganjarannya di sisi Tuhanmu dan lebih baik untuk dijadikan harapan.”

Ya, kita perlu mengejar al-Baqiah as-Solihat. Dalam Al-Quran dan Terjemahannya terbitan Mujamma’ Al-Malik Fahd Li Thiba’at Al-Mushaf, al-Baqiah as-Solihat diterjemahkan sebagai “amalan-amalan yang kekal lagi salih.” Al-Baqiah as-Solihat mengikut tafsiran Abdullah ibn Abbas dan Said bin Jubair ialah solat yang lima. Mengikut satu riwayat yang lain daripada Abdullah ibn Abbas, ia ialah kalimat yang baik. Mengikut Said bin Musayyib, ia adalah subhanallah, walhamdulillah, lailahaillallah, Allahuakbar dan lahaulawalaquwwataillabillah. Pendapat yang agak merangkumi lagi baik ialah daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam. Beliau berpandangan, al-Baqiah as-Solihat ialah kesemua amalan yang salih. Imam Ibn Jarir cenderung dengan pendapat ini.

Puasa dan Detoksifikasi

Matlamat puasa adalah untuk membina takwa. Untuk tujuan itu puasa perlu dilakukan dengan cara serta adab yang betul. Apabila kesemua ini dilakukan dengan sempurna, seseorang bukan sahaja akan memperoleh takwa, malah lebih dari itu dia juga akan memperoleh segala kebaikan yang lain. Antara kebaikan itu ialah meningkatkan kesihatan badan melalui proses detoksifikasi.

Detoksifikasi bermaksud mencuci dan membersihkan badan daripada racun atau toksin. Mengikut Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) dalam Adventures in Therapeutic Fasting, “Amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat hari ini ialah apabila seseorang menghidap penyakit, dia akan mengambil ubat untuk meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan suatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa ketika sakit. Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. Ketika berpuasa organ-organ dapat berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel. Puasa adalah cara rawatan yang tertua di dunia. Ia telah diamalkan oleh orang-orang terdahulu, malah Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan untuk pesakit-pesakit mereka. Plato, Socrates, Pythagoras dan Mahatma Gandhi sering kali berpuasa. Berpandukan kajian serta testimoni pesakit-pesakit, puasa didapati mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti asma, radang sendi, susah tidur, gangguan pada sistem penghadaman serta penyakit kulit.”

Mengikut Dr. Cindy Engles (Ph.D) pula dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn From Them, “Binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan. Ia bermanfaat bukan sahaja untuk binatang malah juga untuk manusia. Puasa akan mencepatkan kesembuhan kerana secara umumnya bakteria memerlukan zat besi untuk bertindak justeru dengan menghindari makanan, bakteria akan ketandusan zat besi dan keadaan ini akan melemahkannya.”

Berpuasa dalam bentuk menghindari makan minum dalam jangka masa yang pendek memang tidak memudaratkan. Dalam sebuah jurnal perubatan berprestij, The Lancet, disebutkan, “Puasa selagi mana tidak menyebabkan kelemahan badan yang bersangatan adalah tidak memudaratkan. Jika berlaku kematian ketika berpuasa, punca kematian dari sebab-sebab lain selain puasa perlulah diterokai terlebih dahulu…” (Rujukan: Stewart, W., Fragmentation Of Cardiac Myofibrils After Therapeutic Starvation, Lancet i:1154. 1969)

Tambahan daripada itu, kajian yang dilakukan di Universiti Utah ke atas golongan Mormon yang berpuasa hanya sehari dalam sebulan mendapati ia merendahkan risiko mereka menghidap sakit jantung. Hal ini dilaporkan dalam artikel bertajuk Fasting? It’s Good For The Heart di http://www.earthtimes.org/ bertarikh 7 November 2007.

Penemuan yang sama diperoleh berdasarkan satu lagi kajian yang dikenali sebagai Intermountain Heart Collaborative Study. Dalam kajian ini 515 pesakit telah diuji kaji di sudut kesihatan jantung. Kajian ini mendapati mereka yang kerap berpuasa mempunyai risiko yang rendah menghidap sakit jantung. Puasa dalam kajian ini ditakrifkan sebagai meninggalkan jadual makanan utama, paling kurang, 2 kali berturut-turut (no food or drink for at least two consecutive meals). (Rujukan: McClure BS, May HT, Muhlestein JB, et al. Fasting May Reduce The Risk Of Coronary Artery Disease. American Heart Association 2007 Scientific Sessions; November 6, 2007; Orlando, FL. Abstract 3642)

Leon Chaitow (N.D., D.O., M.R.O.), pensyarah kanan di University of Westminster, London dan juga penulis kepada 50 buku yang berkaitan dengan kesihatan dan perubatan alternatif merumuskan, “Walaupun puasa mempunyai risiko dan kesan sampingannya, namun berpuasa dengan tidak menjamah makanan dan minuman dalam jangka masa yang pendek adalah amat selamat.” (Rujukan: Fasting for Health and as an Anti-Aging Strategy, www.healthy.net)

Puasa di bulan Ramadan boleh dianggap sebagai puasa jangka pendek. Justeru, secara dasarnya ia adalah amat selamat dan tidak memudaratkan.

Ramadan dan Kesihatan

Pada tahun 1994, kongres antarabangsa pertama bertemakan ‘Kesihatan dan Ramadan’ diadakan di Casablanca. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kertas kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa di musim Ramadan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan malah sebaliknya ia mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. (Rujukan: The Spiritual and Health Benefits of Ramadan Fasting,
Dr.
Shahid Athar, M.D., www.crescentlife.com )

Walau bagaimanapun pengecualian daripada berpuasa diberikan kepada penghidap penyakit-penyakit serius lagi kronik seperti sakit jantung, buah pinggang, migrain yang bersangatan, batu karang dalam buah pinggang dan yang seumpamanya. Pengecualian ini memang diizinkan agama kerana Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud, “Sesiapa antara kamu yang sakit atau bermusafir (maka bolehlah dia berbuka puasa) dan gantikannya pada hari yang lain.”

Jika penyakit yang menimpa seseorang begitu serius sehingga tidak ada harapan lagi untuk sembuh, beliau tidak perlu berpuasa sama sekali. Sebagai gantinya beliau diwajibkan membayar fidyah sebagai menggantikan puasa yang terpaksa ditinggalkannya. Hal ini telah disebutkan dalam Fatawa Muaasirat oleh Dr. Yusof al-Qardawi.

Namun secara umumnya, berpuasa di bulan Ramadan amat menyihatkan. Sebagai contoh, pada tahun 1984, Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman melakukan kajian ke atas 42 orang lelaki (berumur 15-64 tahun) dan 26 wanita (berumur 16-28 tahun) yang berpuasa Ramadan. Darah mereka diperiksa untuk mengenal pasti kadar cortisol, testosterone, sodium, potassium, urea, glucose, cholesterol dan asid lemak. Pada ketika yang sama, berat badan mereka ditimbang di awal dan di akhir Ramadan.

Di Universiti Sains Perubatan Tehran pula, Dr. F. Azizi dan rakan-rakannya membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadan. Pemeriksaan darah untuk mengukur kadar glucose, bilirubin, calcium, phosphorus, protein, albumin, follicle stimulating hormone, thyroid stimulating hormone, testosterone, prolactin, luteinising hormone, thyroxine-4 dan thyroxine-3 telah dilakukan sebelum Ramadan dan pada hari kesepuluh, kedua puluh dan kedua puluh sembilan Ramadan. Di samping itu, berat badan mereka ditimbang. Ujian-ujian ini menunjukkan puasa menurunkan paras gula di dalam darah ke tahap yang rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu kolesterol LDL (low density lipoprotein) menurun dan sebaliknya kolesterol baik iaitu kolesterol HDL (high density lipoprotein) meningkat. Paras lemak di dalam darah secara umumnya juga menurun. Kajian-kajian ini menunjukkan, puasa di musim Ramadan tidak memudaratkan kesihatan. Malah sebaliknya ia memberi kesan yang baik kepada metabolisme badan sekali gus mencegah serangan pelbagai penyakit terutamanya yang berkaitan dengan lebihan gula dan lemak. Fakta-fakta ini dilaporkan di dalam Islamic Perspectives in Medicine oleh Dr. Shahid Athar terbitan American Trust Publications, Indianapolis.

Dalam satu lagi kajian yang dilakukan ke atas 32 lelaki yang berpuasa Ramadan, peratus kolesterol secara keseluruhannya (total cholesterol) didapati menurun 7.9% (7.9%, p<0.001)>dan lemak trigliserida (triglycerides) juga menurun sebanyak 30% (30%, p<0.001)>(Rujukan: Annals of Nutrition and Metabolism, 41: 242-249, 1997) Kesemua ini menunjukkan bahawa berpuasa di bulan Ramadan sememangnya baik untuk kesihatan.

Puasa dan Kesihatan Mental

Otak manusia mendapat banyak manfaat melalui puasa. Malah puasa juga mendatangkan kesan yang amat positif kepada otak haiwan. National Institute on Aging (Amerika) pernah melakukan kajian ke atas tikus-tikus. Tikus-tikus ini diberikan makanan mengikut jadual kemudian disusuli dengan berpuasa secara berselang-seli. Selepas itu sejenis bahan kimia toksik kepada saraf (neurotoxin) yang boleh menyebabkan penyakit seumpama Alzheimer (penyakit kelupaan) kepada manusia diberikan. Tikus-tikus yang berpuasa dalam bentuk seperti yang dinyatakan sebelum ini memiliki ketahanan sehingga mampu memelihara kesihatan sistem sarafnya. Penemuan ini dilaporkan di dalam Proceedings of the National Academy of Sciences Online Edition, April 28. (Rujukan: Fasting Benefits Glucose Metabolism, Nerve Cells, physiciansweekly.com July 28, 2003, Vol. XX, No. 28) Bukanlah suatu yang mustahil jika dikatakan kesan yang lebih kurang sama juga dapat dirasai oleh manusia yang berpuasa.

Kajian dari Universiti Kentucky pula mendapati berpuasa dapat mengurangkan kesan negatif ke atas pesakit yang mengalami kecederaan sederhana di bahagian otak. Kajian yang diketuai oleh Patrick Sullivan dari UK Spinal Cord and Brain Injury Research Center ini mendapati proses kesembuhan ke atas otak yang cedera berlaku secara signifikan apabila pesakit-pesakit berkenaan berpuasa selama 24 jam. Hal ini mungkin disebabkan oleh keton (ketones) yang terhasil dalam darah orang yang berpuasa. Keton (ketones) didapati berperanan mencegah proses kerosakan yang berlaku ke atas sistem saraf (neuro-protective). Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Neuroscience Research. (Rujukan: Fasting Can Reduce Brain-Injury Impact, http://news.uky.edu/, 14 Mac 2008)

Puasa juga merangsang pengeluaran hormon yang dikenali sebagai endorphin. Hormon tabii ini berfungsi seperti dadah jenis candu (opiates) yang menghilangkan kesakitan serta mendamaikan minda justeru mencegah daripada serangan penyakit mental.

Tambahan daripada itu puasa juga membantu tidur dan hal ini adalah penting terutamanya bagi golongan tua. Oleh sebab proses pemulihan badan berlaku ketika tidur kemampuan untuk tidur dengan nyenyak menjamin kualiti proses pemulihan itu. Berdasarkan analisis terhadap gelombang otak melalui graf elektroensefalogram (EEG) pakar-pakar mendapati tidur adalah lebih nyenyak di musim Ramadan berbanding di bulan-bulan lain. Perubahan-perubahan positif ini membantu fokus dan konsentrasi umat Islam di musim Ramadan dan menjadikan mereka lebih produktif. Penemuan-penemuan ini dilaporkan oleh Dr. Ebrahim Kazim (M.B.B.S., M.R.C.P.) dalam bukunya Further Essays on Islamic Topics. Beliau merupakan pengasas dan pengarah Akademi Islam Trinidad. (Rujukan: Dr. Ebrahim Kazim, Fasting and Your Biological Rhythms, http://www.islamonline.net/, 12 November 2002)

Bersahur dan Sains

Bersahur merupakan salah satu amalan penting di bulan Ramadan Terdapat banyak hadis nabi yang sahih yang menekankan tentang kepentingannya. Antaranya ialah hadis nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah yang bermaksud, “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan.” Dalam hadis ini bersahur dikaitkan dengan keberkatan. Keberkatan bermaksud rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.

Dalam riwayat yang lain oleh Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasai, nabi bersabda, “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan ahli kitab ialah makan sahur.” Begitulah status kepentingan bersahur sehingga ia menjadi pembeza antara puasa umat Islam dengan ahli kitab.

Ketika bersahur, umat Islam disuruh melewatkannya kerana nabi bersabda, “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka puasa.” Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad. Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu subuh dan berhubung dengan ini Zaid bin Thabit pernah berkata, “Kami pernah bersahur bersama nabi kemudian kami bangun untuk melakukan solat (subuh).” Kemudian Zaid bin Thabit disoal, “Berapa lama masa antara keduanya (yakni antara makan sahur dan solat subuh)?” Berkata Zaid, “Sekadar membaca 50 ayat Al-Quran.” Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari.

Ketika merumuskan tentang kepentingan bersahur, Imam Ibn Abdil Bar berkata, “Hadis-hadis yang menerangkan tentang kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur kesemuanya adalah bertaraf sahih dan mutawatir.” Hal ini nyatakan di dalam Bustanul Akhbar Mukhtasar Nailul Authar (Pustaka Bina Ilmu, Surabaya) terjemahan A. Qadir Hassan, Mu’ammal Hamidy, Drs. Imron Am dan Umar Fanany B.A.

Penekanan nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi (breakfast). Kajian semasa menunjukkan makanan yang paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi.

BBC News bertarikh 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi adalah amat penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu yang lain. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Mark Pereira dan rakan-rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati, mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan menghidap penyakit kencing manis. Kajian yang sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang bersarapan pagi.

Hal ini menjadi lebih penting ke atas kanak-kanak yang berpuasa kerana kesan meninggalkan sarapan pagi ke atas kanak-kanak adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil. Kajian-kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun dari tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.

Tambahan daripada itu, satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakan-rakannya ke atas 700 pelajar-pelajar dari Louisiana menunjukkan, mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah dan ini akan menyebabkan penyakit anemia (iaitu suatu penyakit yang berkaitan dengan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.

Justeru secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur tidak akan mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian-kajian yang dipaparkan ini. Lebih daripada itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunah nabi dan waktu sahur juga merupakan waktu yang dipenuhi keberkatan.

Berhubung dengan ini Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 15-17, “Katakanlah, ‘Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa terdapat syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hambanya. (Iaitu) orang-orang yang berdoa, Ya Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari seksa neraka. (Merekalah) orang-orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya di jalan Allah dan yang memohon ampun di waktu sahur’.”

Konklusi

Tidak syak lagi puasa adalah kuasa. Hal ini disebabkan Ramadan bermanfaat untuk manusia moden dan kemanfaatannya pula adalah berbentuk menyeluruh lagi holistik Ia merangsang kebaikan dalam pelbagai aspek, antaranya di penjuru:

  • Spiritual: Melalui ibadah seperti solat dan zikir.
  • Peningkatan Ilmu: Melalui kajian al-Quran.
  • Kesihatan Mental: Melalui tafakur, reda serta pengeluaran hormon endorphin yang mendamaikan.
  • Kesihatan Fizikal: Melalui metabolisme badan yang terkawal.
  • Pembinaan Akhlak dan Jati Diri: Melalui latihan kesabaran, pengawalan pancaindera serta ketabahan memikul tanggungjawab.
  • Amanah dan Integriti: Melalui keikhlasan dan istiqamah walaupun andai kata kita berbuka puasa tidak ada sesiapapun yang mungkin mengetahuinya.
  • Mementingkan Keutamaan: Melalui fokus mengejar janji Allah berkaitan Lailatulqadar.
  • Mementingkan Kualiti: Melalui kesedaran bahawa ibadah puasa perlu dihalusi kerana ia bukan sekadar meninggalkan makan minum.
  • Pengurusan Masa: Melalui sistem waktu solat dan puasa yang perlu dijaga.
  • Keharmonian Keluarga: Melalui konsep kebersamaan ketika bersahur, berbuka puasa dan bersolat.
  • Maslahat Kemasyarakatan: Melalui zakat fitrah serta solat berjemaah.
  • Produktiviti: Melalui peningkatan fokus dan konsentrasi.
  • Ekonomi: Melalui penjimatan wang serta pengawalan hawa nafsu.
  • Ledakan Kreativiti dan Lonjakan Paradigma: Melalui kedamaian dan kesucian hati yang menjadi semaian kepada ilham yang meledakkan idea-idea baru.

Memang benar, puasa ialah kuasa. Kesemua ini akan terhasil jika puasa dilakukan secara yang betul dengan memelihara segala adabnya. Jika tidak kita hanya akan mendapat lapar dan dahaga semata-mata. Nabi bersabda, “Berapa ramai orang yang berpuasa yang tidak mendapat sesuatu apa pun daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga.” (Riwayat Ibn Majah)

Nukilan Dr Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B. Alexandria)

No comments:

Post a Comment