Pages

Tuesday, March 6, 2012

Saintis UKM Hasilkan Beras Perang Bermutu Tinggi

Setelah menjalankan penyelidikan selama tujuh tahun, para ahli sains UKM berjaya menghasilkan sejenis beras perang yang boleh meningkatkan pengeluaran beras negara selain sesuai untuk mereka yang mengidap penyakit kencing manis.
Pakar Genetik Tumbuhan dan Bioteknologi, dari Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof Dr Wickneswari Ratnam, dengan dibantu 14 orang ahli sains fakulti itu telah berjaya menghasilkan beras perang bermutu tinggi dan rendah indeks glisimiknya.
Hasil penyelidikan sejak 2002 itu berjaya menghasilkan padi terbaru varian G33 diberi namaUKMRC9 yang mampu meningkatkan pengeluaran beras sejajar matlamat pengkajian berkenaan.
Ia dicapai melalui pembiakan konvensional iaitu kacukan terkawal di antara padi Cultivar MR219 dengan padi liar Oryza rufipogon. Ia melibatkan pemindahan ‘gen’ padi liar ke padi yang digunakan sekarang yang telah diusahakan oleh MARDI (Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia).
Prof Wickneswari telah di bantu oleh Dr K K Sabu, Dr Lim Li Sze, Dr Atiqur Bhuiyan, Dr Abdul Rahim Harun,  En Parviz Fasahat, Puan Ngu Mee Siing, En Abdullah M Zain, Puan Site Zuraini Abdul Rahman, Dr Narimah Md Kairudin, Dr Tilakavati Karupiah, Prof Aminah Abdullah, Dr Kharidah Muhammad, En Chua Khun Aik dan En Tan Choon Heen untuk merancang, menggerak dan menjayakan penyelidikan itu.
Ia juga melibatkan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan MARDI. 
Dalam satu pertemuan dengan Portal Berita UKM, Prof Wickneswari berkata kacukan itu dibuat secara konvensional. “Kami tidak membuat sebarang manipulasi. Kami ambil debunga daripada padi liar kemudian didebungakan dengan padi moden sekarang lantas kami gunakan apa dipanggil ‘penanda genetik’ untuk menentukan sama ada ia memang kacukan atau tidak.
“Ini kerana ada kemungkinan ia tidak menjadi dan kami juga mahu tahu sebanyak mana gen padi liar berpindah ke padi moden,” kata beliau.
Walaupun pada mulanya penyelidikan itu adalah untuk mencari baka yang boleh meningkatkan pengeluaran beras negara ia juga telah berjaya menghasilkan padi yang sesuai untuk pesakit kencing manis.
Secara ringkasnya, kata beliau, ciri-ciri UKMRC9 adalah ia sederhana tinggi, tumbuh dalam masa 125 hari, rupa bentuknya yang diinginkan, ia mengeluarkan hasil beras yang tinggi iaitu 5.5 tan setiap hektar, ia kalis penyakit barah dan berasnya sederhana panjang.
Ciri biokimianya pula adalah kandungan amilosa 19-20 peratus, kandungan fenolik yang tinggi dan padi ini adalah satu sumber antioksidan yang tinggi.
Peringkat pertama penyelidikan selama tiga tahun dari 2002 dibiayai dengan peruntukan RM840,000 dari Kerajaan. Ia kemudian disambung hingga 2009 dengan pemberian peruntukan RM1 juta dari kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-9.
Penyelidikan itu telah didorongkan masalah negara menghadapi kekurangan bekalan beras pada 2002 dengan harga pasarannya juga telah meningkat.
Kerajaan waktu itu melancarkan program bagi memastikan negara akan dapat mengadakan bekalan berasnya yang mencukupi. “Ketika itu saya ingat kita hanya mencapai kadar 60 peratus dari keperluan beras. Tetapi  selepas itu kerajaan mahu kadar itu ditambah kepada 90 peratus dan kini mensasar untuk dapat mengeluarkan padi secukupnya bagi keseluruhan keperluan negara.
“Isunya ialah bagaimana kita mampu tingkatkan pengeluaran beras melalui penyelidikan. Ketika itu penyelidikan sama sudah dijalankan di China dan Amerika Syarikat menggunakan padi liar, Oryza rufipogon yang berasal daripada Malaysia”, tambah beliau.
Selain itu bagi kita di Malaysia, ada juga beras merah dan beras hitam iaitu jenis padi huma yang di tanam di Sarawak.
Bagi beras perang, ia di tanam secara percubaan di Stesen MARDI di Seberang Perai melibatkan tiga daripada lima varieti diperolehi di samping lapan lagi jenis beras putih yang hasilnya juga tinggi dan sesuai ditanam di kawasan sawah menghijau.
“Kita sudah minta orang memasak beras ini dan mendapati penghadamannya agak perlahan. Ia tahan lama di dalam usus jadi kita tidak akan mengalami peningkatan mendadak paras glukosa,” kata beliau.
Prof Wickneswari berkata warna beras kemerah-merahan itu tidak disengajakan tetapi ia ditemui secara kebetulan.
Pendebungaan terkawal dilakukan diikuti kacukan balik. Daripada 260 anak pokok yang kami perolehi ada lima yang membawa ciri kemerah-merahan sedang yang lain bewarna putih. ‘Merah’ ini adalah daripada padi liar tetapi sekamnya kelihatan hitam sedangkan isinya perang.
“Kita kacuk sekali, kemudian kacukan balik dua kali dengan padi moden demi mengurangkan kesan-kesan negatif berasal daripada padi liar. Lagipun padi liar tidak cantik rupanya,” beliau menambah.
Bercakap mengenai padi liar Oryza rufipogon, Prof Wickneswari berkata ia tidak boleh dimakan dan adalah ‘saudara liar’ kepada beras tetapi ia dikatakan asal-usul bagi beras yang kita makan hari ini iaitu Oryza sativa.
“Padi ada sembilan jenis ‘genome’ dengan semuanya sangat berbeza. Yang ditanam di kawasan tropika berbeza dengan yang ditanam di sawah kawasan temperat seperti di Afrika iaitu Oryza glaberrima.
Tahap terakhir dalam projek itu selepas selesai segala dokumentasi yang telah dapat disiapkan pada November tahun lalu, tidaklah lain daripada berusaha memasarkannya.
“Saya sudah serahkan hak pengkomersialan kepada UKM Technology dan telah pun memeterai satu perjanjian dengan sebuah syarikat pengeluar benih untuk mengujinya,” kata Prof Wickneswari.
Sumber rujukan :

"Keilmuan,Kebajikan,Kesatuan"

Monday, February 20, 2012

Do You Know? Please Read!

Tolong Sebarkan Pada Rakan-Rakan Anda.

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua mahasiswa/i UKM.

Sila ambil perhatian terhadap beberapa pengumuman penting di bawah:


1. Gangguan Capaian Rangkaian UKM
Adalah dimaklumkan bahawa pihak jaring akan membuat penyelenggaraan terhadap peralatan mereka pada 21 Februari 2012 bermula jam 12 malam sehingga 3 pagi. Sehubungan dengan itu, capaian rangkaian akan mengalami gangguan buat sementara waktu. Segala kesulitan amat kami kesali.


2. Mahasiswa IPT Dijangka Terima PTPTN 25 Februari-3 Mac 2012

Rujukan Jadual Tentatif Pengeluaran Pembiayaan: http://www.ptptn.gov.my/docs/jadual.pdf

3. Pendaftaran kursus CMIE 1012 bermula 20 Februari sehingga 4 Mac 2012 (Pelajar Tahun 1)


4Isu yuran tambahan RM 30.00 yang dikenakan kepada penghuni Kolej Pendeta Za'ba (KPZ) 


5. Tawaran Tempat Untuk Pelajar Praktikal UKM


6. Kursus Kepimpinan Pelajar UKM Siri 3

Akuan Pengesahan Kehadiran dan Perlakuan: http://www.ukm.my/e-pelajar/pdf/022012/bul_17022012-15_3.pdf

7. Penyediaan Gambar Bakal Graduan Untuk Sistem Kad Pintar Majlis Konvokesyen 2012 Dan Borang Maklumat Diri Pelajar


8. Tawaran Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor Sesi I Tahun 2012


9. Isu Pemarkahan Learning Contract


10. Pertandingan Video Pendek


Di sini juga terdapat sedikit Perkongsian Jadual Belajar Semester 2 2011/2012 daripada Biro Akademik PMUKM 2010/2011


Akhir Sekali, Selamat Kembali Ke Kampus!

"Keilmuan,Kebajikan,Kesatuan"









Sunday, February 5, 2012

Maulidur Rasul 1433H

Selawat Ke Atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w:
"اللهمَّ صلِّ على سيِّدنا محمَّد وعلى آلِه وصحبِه وسلِّم "


Oleh Ustaz Wan Ali Akbar

Ramai umat Islam yang menyambut hari kelahiran tersebut. Walau di kalangan ahli sejarah Islam, berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran baginda saw sepertimana mereka berbeza pendapat berapa umur baginda saw. Yang pasti, tahun gajah, hari Isnin.



Kegembiraan sambutan kelahiran baginda saw itu, bukan sahaja disambut oleh kebanyakan kita. Sebaliknya sambutan itu telah dibuat oleh ahli keluarga baginda saw. Abu Lahab, bapa saudara baginda saw, kerana terlalu gembira menyambut kelahiran baginda saw, dia memerdekakan hambanya yang paling berharga kerana membawakan berita itu. Bukan itu sahaja, dibuat pula kenduri dengan menyembelih beberapa ekor unta menandakan betapa besar kegembiraannya.




Melihat betapa hebat sambutan Abu Lahab terhadap kelahiran baginda saw membuat kita berfikir, adakah itu cara yang sebenar untuk menonjolkan kecintaan kita kepada Rasulullah saw? Abu Lahab, pada akhirnya menjadi antara orang pertama yang membantah dan memusuhi Islam.

Pada hari ini, sambutan Maulidur Rasul dibuat secara besar-besaran. Dengan paluan kompang dan selawat, perarakan, majlis dan sebagainya dianjurkan disana-sini. Namun, adakah dengan cara tersebut dapat menimbulkan kecintaan kita kepada Rasulullah saw?





Cinta pada Rasul perlu datang dari hati. Ia tidak perlu ditonjolkan dengan majlis tertentu dan masa tertentu. Namun, ia perlu sentiasa berada di hati. Sepertimana hati seorang kekasih kepada kekasihnya. Bahkan, seperti yang disebutkan oleh baginda saw kepada Umar, "Cinta Rasul lebih daripada cinta ibu bapa, ahli keluarga dan manusia keseluruhannya."

Kecintaan kepada Rasul, diterjemahkan dalam kehidupan melalui amalan sunnah yang menjadi amalan seharian. Dalam fiqh, ia disebut sunnah za'idah (sunnah tambahan). Ia bermaksud, sunnah yang dilakukan kerana kecintaan yang terlalu kepada Rasulullah saw, samada sunnah dalam perkara harus, seperti cara makan, sunnah dalam perkara kebudayaan seperti cara berpakaian dan lebih utama sunnah dalam ibadah.





Selawat juga perlu sentiasa dilafazkan. Sabda baginda saw, sesiapa yang berselawat ke atas ku satu selawat, maka Allah swt akan berselawat ke atasnya sepuluh selawat. Sehingga 'ulama' meletakkan hukum wajib berselawat apabila mendengar lafaz selawat dari orang lain. Hanya orang yang kedekut sahaja, malas berselawat kepada baginda saw, dan ketahuilah bahawa dia termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi.

Marilah para sahabat, kita bermuahasabah. Pengorbanan yang dibuat oleh baginda saw terlalu besar. Sehingga, tidak mungkin bagi kita membalasnya. Namun, sekurang-kurangnya, berjanjilah kepada diri sendiri, kembalilah kepada amalan sunnah. Buat segala suruhan Allah dan tinggal segala larangan-Nya. Mudah disebut, namun susah dibuat. Tapi, usahalah sekadar kemampuan dalam keterbatasan kita sebagai makhluk. Waullahu'alam.



~Akhir Kalam,Salam Maulidurrasul 1433H dari kami Pimpinan PMFST 2011/2012~




Tuesday, January 17, 2012

Benarkah Zikir Berkaitan Dengan Sains?



Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipetanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita perolehi adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seseorang itu berzikir dengan mengulangi kalimah-kalimah Allah seperti "Subhanallah", beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir itu berulang-ulang banyak kali, aktiviti saraf menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif dan dengan itu otak menjadi aktif secara keseluruhan. Otak mula memahami perkara baru, melihat dari perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedangkan sebelum berzikir ianya tidak jadi sebegini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.
"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?" (Surah Ar-Rahman)


Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember, 1993. Satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington di mana ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai benda. Mereka dikehendaki membaca perkataan tersebut satu-persatu dan mengaitkan perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugasan mereka, beberapa bahagian berbeza otak menunjukkan peningkatan akitiviti saraf termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak kepada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekaligus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan zikir terbukti meningkatkan kecerdasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudara seIslam, ketika saintis barat baru menemui mukjizat ini, kita umat Islam iaitu umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang remeh tentang kepentingan berzikir dan secara nyata mengabaikannya.



~FIKIR DAN ZIKIR~

Sumber : 
i)Page FB LayarMinda 



Monday, January 16, 2012

NOTIS PEMBERITAHUAN KURSUS KEPIMPINAN PELAJAR UKM



Kursus - siri 1 -tarikh: 20-22 jan 2012 di Bilik Lat 1, Aras 6, Kolej Keris Mas, UKM
Kursus - siri 2 -tarikh: 17-19 Feb 2012 di Bilik Lat 1, Aras 6, Kolej Keris Mas, UKM 


Terbuka kepada pelajar prasiswazah dan siswazah untuk mengikuti salah satu siri kursus kepimpinan pelajar UKM.

PENYERTAAN SALAH SATU SIRI KURSUS INI JUGA ADALAH PRA-SYARAT KEPADA PELAJAR PRASISWAZAH DAN SISWAZAH YANG BERMINAT UNTUK MENJADI CALON MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UKM.

Maklumat kursus dan borang pnyertaan boleh didapati di Unit Pembangunan Sahsiah Pelajar, Jabatan Perkhidmatan Pelajar, Aras 5, Bangunan Pusanika, UKM.

Tarikh tutup menghantar borang penyertaan Siri 1 adalah pada 13 Januari 2012 dan Siri 2 pada 10 februari 2012.

Makluman tawaran menyertai kursus akan dihantar melalui e-mail saudara/i dan surat tawaran berkenaan boleh diperoleh di Unit Pembangunan Sahsiah Pelajar, JPPel bermula 17 hingga 18 Februari 2012 untuk siri 1 manakala Siri 2 bermula 14 hingga 15 Februari 2012.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi berikut :

En. Azizi/ En.Zairil (0389215347), Cik Najwa (0389213146) atau e-mel:azbar@ukm.my (En.Azizi/ zairil@ukm.my (En. Zairil)/ ast.phi@gmail.com (cik Najwa)






Tuesday, January 10, 2012

Cilibangi raih RM25,734 hasil anak pokok Oktober-Disember 2011


Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Ahmad Shahiddan Saidi

Cilibangi yang terkenal rangup, sentiasa segar dan sederhana pedas – hasil penyelidikan saintis UKM – berjaya menjana RM25,000 hasil jualan anak pokok saja dalam masa sebulan dari Oktober tahun lalu.
Menjelang Disember 2011, lagi RM738 diperolehi daripada jualan anak-anak pokok itu. Berikutan kejayaan menjual kepada 278 petani itu, “syarikat mensasarkan hasil jualan RM2 juta bagi tahun ini,” kata Rosmi Zamzuri Rosly Ketua Pegawai Eksekutif Serotech Sdn Bhd – syarikat terbitan UKM yang menguruskan pengkomersialan hasil R & D Prof. Madya Dr Ahmed Mahir Mokhtar Bakri. Ia dijangka pendapatan daripada penjualan Cilibangi jenis elite dan benih superior, cili Crunchious, produk hiliran Cilibangi dan tomato di samping khidmat perundingan profesional Serotech. Sebagai jualan perintis, lima tan cili Crunchious akan dipetik daripada seekar ladang di UKM pertengahan bulan ini dan diangkut oleh Agensi Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk dipasarkan di beberapa rangkaian pasar raya termasuk Giant. Ini akan diikuti dengan lagi tiga tan Cilibangi daripada seekar ladang lain juga dipasarkan oleh FAMA pada hujung bulan ini. Rosmi menjelaskan selain segolongan kecil petani yang membeli paling kurang tiga pokok, petani lain menggunakan simpanan mereka atau mendapatkan pembiayaan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan Agrobank untuk mengusahakan ladang Cilibangi.
   “Selain kumpulan pertama itu, lagi tiga peladang yang memiliki 15.5 ekar tanah sudah pun menempah 96,000 anak pokok bernilai RM288,000 bagi penanaman Januari hingga Mac tahun ini. “Namun mengikut perancangan Serotech, kejayaan Cilibangi dan Crunchious akan membuka jalan kepada pengeluaran tomato, beras, kiub Cilibangi, Cilibangi Organik pada tahun ini dan2013. Ini akan diikuti dengan Penapaian Cilibangi dan penanaman serai.” Serotech juga, katanya, akan merangka pelan bagi melancarkan program Bisnes Sosial Cilibangi dan menubuhkan UKM Land & myAgrosis. “Bisnes Sosial Cilibangi adalah cetusan idea Pro-Canselor UKM Tengku Panglima Besar Kedah Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.” Jelasnya ia direka khas untuk golongan warga istimewa berusia 20 tahun ke atas yang tidak lagi mampu mengikuti kegiatan diatur untuk kanak-kanak yang masih sihat. 
   
   Dalam projek ini Serotech akan menyediakan benih Cilibangi kepada kumpulan warga istimewa di Alor Star, Kedah. Mereka akan menanamnya sehingga ke peringkat anak pokok dan selepas dua atau tiga minggu, anak-anak pokok itu akan dijual kepada petani di Kedah dan kawasan lain di Malaysia.
Mereka akan dibayar menurut jumlah beg anak pokok yang sedia untuk dijual. Hasil penjualan ini akan digunakan bagi membayar gaji dan meluaskan lagi perniagaan mereka.
Mereka yang lebih berjiwa keusahawanan akan dibayar komisen bagi beg-beg anak pokok yang mereka jual sendiri. Projek ini, kata Rosmi bukan saja mewujudkan pekerjaan tetapi membina keupayaan keusahawanan dalam usaha UKM membantu golongan istimewa itu menyara dan membina penghidupan lebih selesa.
“Manakala UKM Land & myAgrosis adalah program siswazah tani menggunakan 50 ekar tanah UKM dipulangkan semula oleh sebuah agensi kerajaan. Bagi menjayakan projek ini kerajaan memberi peruntukan khas RM30 juta,” kata Rosmi.

   Buat masa ini Serotech Sdn Bhd mempunyai tapak semaian iaitu Rumah Cilibangi di UKM Bangi sebagai pusat penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D Innovation), Pusat Pameran, Pengeluaran Benih Terpilih Cilibangi dan juga Pengeluaran Anak Pokok Terpilih Cilibangi untuk kawasan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan sebahagian Negeri Sembilan. Di samping itu Serotech juga telah memulakan operasi di bahagian utara (Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) yang berpusat di Taiping, Perak sebagai cawangan tapak semaian yang di namakan Pondok Cilibangi (Cilibangi Hut) sebagai tempat pengeluaran anak pokok terpilih Cilibangi dan juga tempat pameran peringkat negeri. Pada tahun ini juga Serotech bercadang meluaskan cawangan Pondok Cilibangi di bahagian selatan berpusat di Johor untuk  membekalkan Anak Pokok Terpilih Cilibangi kepada petani di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Serotech akan membuka Pondok Cilibangi di Pantai Timur meliputi Pahang, Terengganu dan Pahang juga tahun ini. Buat masa ini pihak Serotech belum membuat perancangan membuka Pondok Cilibangi di Sabah dan Sawarak. Beliau menarik perhatian dalam memasarkan Cilibangi dan produk lain, Serotech bersandar kepada kekuatan lebih 30 tahun penyelidikan dilakukan oleh Dr Ahmed Mahir dan juga inovasi. Syarikat itu sudah pun mengambil seorang lagi saintis, Sharifah Nur Rahimah Syed Alias sebagai pegawai teknologi. Ia kini juga melantik dua anggota lembaga pengarah iaitu Ikmaluddin Ismail dan Kamarol Zaman Abdol Rahman. Anak pokok terpilih Cilibangi boleh dibeli melalui program easyCilibangi manakala bagi Crunchious (Cilibangi premium melalui perlesenan.

   Para petani yang berminat untuk menyertai program penanaman easyCilibangi atau perlesenan Crunchious boleh menghubungi Rosmi (CEO) 019-282 9621/ Cik Kalpana (Business Development Manager) 012 765 6688.
Alamat e-mel Serotech: www.serotech.com.my

Sumber : Portal Berita UKM

FST UKM Bantu Majukan Ekopelancongan Di Raub


Oleh Radzuan Ghazali
Foto Kamarul Arifin, FST

Koridor Raub yang mempunyai sumber khazanah alam semulajadi dan hidupan liar yang menarik khususnya di Hutan Lipur Lata Jarum mampu menjadi sumber ekonomi kepada masyarakat setempat dan negara.

Kawasan itu yang menjangkaui Bukit Fraser sehingga ke Ulu Dong berupaya menjadi tarikan ekopelancongan, kata Pegawai Daerah Raub, Dato' Ismail Mohd Ali ketikamerasmikan Seminar Pendedahan Potensi Pembangunan Ekopelancongan di Raub di sini petang semalam. Beliau telah mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Dong, Dato' Shahirudin Ab Moin. 

Seminar dan bengkel empat hari itu bertemakan Ekopelancongan Pemaju Ekonomi Negara dianjurkan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser dan Jabatan Perhutanan Pahang berlangsung di Dewan Orang Ramai Ulu Dong dan Hutan Lipur Lata Jarum, Raub.

Dekan FST, Prof Dr Shahrim Ahmad, Pengurus Besar, Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser, Dato' Md Hanafiah Abdul Talib dan Pengerusi seminar, Prof Dr Jumaat Adam turut hadir.

Ismail berkata seminar demikian berupaya memberi manfaat kepada masyarakat tempatan mengenai peluang baru ekonomi yang mereka boleh ceburi hasil kegiatan pelancongan yang semakin berkembang.

Beliau menyarankan UKM menjalankan lebih banyak aktiviti penyelidikan  saintifik dan sosio ekonomi sebagai langkah untuk memelihara alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup penduduk tempatan yang boleh mendatangkan faedah kepada kedua pihak.

Prof Shahrim berkata kawasan Ulu Dong mempunyai banyak tarikan untuk membolehkan pelancong memilihnya sebagai destinasi mereka.

Pembangunan ekopelancongan di Raub boleh member impak besar terhadap rakyat tempatan meningkatkan kualiti hidup social dan kesejahteraan mereka.

UKM menerusi Kumpulan Penyelidikan Kesihatan Persekitaran akan terus komited menjalankan penyelidikan di kawasan Ulu Dong dan sekitaranya yang merangkumi pelbagai bidang tujahan serta persekitaran sosial.

UKM, katanya, berhasrat berkongsi hasil penyelidikannya yang akan diketengahkan bagi membangunkan potensi kawasan Ulu Dong sebagai kawasan ekopelancongan terkenal di Malaysia menepati ekopelancongan Pahang sebagai Anugerah Alam(‘The Gift of Nature').
 Majlis perasmian diseriikan dengan persembahan silat dan tarian oleh pelajar, orang asli dan penduduk Ulu Dong. 

Sumber : Portal Berita UKM