Pages

Saturday, December 15, 2012

APA ERTINYA SAYA MENDUDUKI EXAM


Oleh: Muhammad Asri bin Abdul Sisak (YDP PMFST)


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera kepada seluruh mahasiswa/i Universiti Kebangsaan Malaysia khususnya kepada penduduk Fakulti Sains & Teknologi. Dengan berbaki 3 minggu sahaja lagi sebelum menjelangnya peperiksaan akhir untuk sem 1 bagi sesi 2012/2013, pastinya ada dalam kalangan kita sudah merencana jadual untuk melakukan persediaan awal, mengumpul nota selengkapnya, ber’kampung’ di PTSL untuk mencari maklumat tambahan dan mungkin ada yang masih berpegang pada prinsip ‘last minute learning is more effective’ atau ‘learn everything in one night’.




Tidak kira cara atau gaya, ‘exam’ bukanlah perkara utama untuk dibicarakan dalam blog PMFST kali ini. PMFST ingin mengajak rakan-rakan sekalian memandang peperiksaan dari sudut ILMU yang dipelajari. Manusia yang ingin menjadi doktor perlukan ILMU, manusia yang ingin menjadi pemimpin perlukan ILMU, manusia yang ingin menjadi tentera perlukan ILMU. Pendek kata, ILMU merupakan asas yang penting bagi setiap manusia. Orang ber-ILMU sentiasa menerima kelebihan dan kebaikan. Sebagai contoh, seorang peniaga yang mempunyai kepakaran dalam ilmu perniagaan akan memperoleh keuntungan lebih banyak berbanding peniaga yang kurang ilmunya.


Manusia memerlukan ILMU kerana sifat ingin tahu sentiasa membuak-buak. Bermula zaman kanak-kanak sehinggalah usia tua, manusia tetap memerlukan ILMU. Pernah terlihat seorang ‘makcik’ dalam lingkungan usia 40-an membawa buku-buku yang bertimbun-timbun keluar dari pintu PTSL. Terdetik di benak pemikiran, di usia yang lanjut masih lagi bersemangat dan bersungguh-sungguh menuntut ilmu. Baru-baru ni satu rekod dunia telah direkodkan iaitu graduan universiti paling tua didunia yang dipegang oleh Allan Stewart, 97 tahun. Kata penerima ijazah sarjana Sains Klinikal dari Universiti Southern Cross, “Saya punya banyak masa terluang dan saya suka pemikiran saya terus aktif”. Kata-kata tersebut pasti memberi kesan yang amat mendalam kepada kita yang masih mangamalkan sikap acuh tak acuh dalam menuntut ILMU.




Terdapat satu kisah untuk dikongsikan, yang mana ketika seorang anak murid bertanyakan kepada gurunya iaitu Imam Malik, apakah perkara yang akan kamu lakukan apabila ditakdirkan untuk digambil nyawa? Imam Malik menjawab, ‘aku suka sekiranya diambil nyawa dalam keadaan aku sedang menuntut ilmu’. Seorang yang optimis dan cinta akan ILMU sentiasa mengharap proses memperoleh ILMU sentiasa berterusan. Bertepatan dengan kata-kata dari seorang tokoh aktivis gerakan kemerdekaan India iaitu Mahatma Ghandi, katanya ‘live as if you were to die tomorrow, learn as if you were to live forever’.


Akhir kalam, sebagai seorang mahasiswa, tempoh 3/4/5 tahun di universiti bukanlah bermakna proses menuntut ILMU sudah mencapai satu tahap sempurna. Bahkan proses tersebut harus diteruskan sehingga roh berada pada jasad. Bagi yang beragama Islam, hayatilah peristiwa penurunan wahyu yang pertama kepada Rasulullah SAW- Iqra!




P/s: Pimpinan PMFST sesi 12/13 ingin mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan akhir semester 1 dan semoga kejayaan berpihak kepada kita semua. d(^_^)b


PERINGATAN: SILA AMBIL KAD MASUK PEPERIKSAAN DAN JADUAL PEPERIKSAAN (KMJP) DI PEJABAT DEKAN FAKULTI MASING-MASING. PELAJAR YANG GAGAL MENUNJUKKAN KAD KMJP TIDAK DIBENARKAN MENDUDUKI PEPERIKSAAN.