Pages

Friday, July 29, 2011

Khutbah Rasulullah SAW Pada Akhir Bulan Syaaban





by Abu Basyer

Disetiap penghujung bulan Syaaban, Rasulullah SAW berdiri berkhutbah mengingatkan para sahabat r.a tentang kelebihan Ramadan.

KHUTBAH RASULULLAH SAW DI PENGHUJUNG BULAN SYAABAN :

Wahai sekalian manusia kini muncul kepadamu satu bulan yang besar dan mulia,

* bulan yang teramat berkat,

* bulan yang didalamnya terdapat satu malam yang lebih tinggi nilainya dari pada seribu bulan.

* Inilah bulan Allah memfardukan keatasmu berpuasa disiang hari dan

* menjadikan solat tarawih sebagai sunnah di malam hari

* sesiapa yang ingin mendekatkan dirinya kepada Allah melalui amalan sunnah di bulan Ramadan maka di balasi kepada dengan ganjaran seolah-olah melaksanakan amalan fardu di bulan lain pada tahun itu,

* dan barangsiapa melakukan satu amalan fardu maka akan di balasi 70 kali  amalan fardu di bulan lain pada tahun itu.

* Inilah sesungguhnya bulan kesabaran dan

* kesabaran yang sejati tiada lain balasannya kecuali syurga,

* inilah bulan simpati terhadap sesama manusia

* di bulan inilah rezeki orang- orang beriman di tambah,



* Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka puasa pada orang yang berpuasa maka ; 

1. kepadanya dibalas dengan keampunan dari dosanya dan 

2. di bebaskan dari api neraka, dan juga 

3. memperolehi ganjaran yang sama seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahala orang berpuasa.

Setelah selesai Rasulullah berkhutbah maka para sahabat bertanya termasuk juga Salman Al-Farisi : "Ya Rasulullah tidak kesemua dari kami dapat memberikan kepada orang berpuasa untuk berbuka?"

Maka Rasulullah SAW menjawab dengan sabdanya yang bermaksud : "Allah akan mengaruniakan pahala kepada orang yang memberi walaupun ;

1. hanya sebiji tamar@sebiji kurma dan

2. seteguk air dan

3. sehirup susu untuk orang berbuka puasa.

* inilah bulan yang pada Awalnya Allah menurunkan rahmat,

* di Pertengahannya Allah menurunkan pengampunan dan

* di Akhirnya Allah membebaskan hambaNya dari api neraka.

(Hadis Riwayat Salman al-Farisi )

Rasulullah SAW bersabda kepada Sayidina Ali k.wj. yang bermaksud :
"Wahai Ali ! Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan menjauhi (perbuatan) haram dan perbualan kosong, maka Allah Maha Pengasih akan meredainya dan mewajibkannya masuk kedalam syurga."

Sahabat yang dikasihi,
Semoga Ramadan pada tahun ini merupakan Ramadan yang terbaik dan berjaya kita lalui sepenuhnya dan mendapat rahmat (belas kasih Allah), maghfirah (keampunanNya) dan itqum minannar (selamat dari api neraka).

Berpuasa di bulan Ramadan adalah merupakan peluang keemasan bagi setiap muslim untuk meningkatkan ketakwaaan diri , menambah rasa kesyukuran atas setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah dan peluang untuk mendapat keampunan daripadaNya.

Firman Allah SWT maksudnya :
“Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab ayat 35)

Dari Abu Ummah r.a. beliau berkata : Saya berkata, "Wahai Rasulullah, perintahkan kepadaku  untuk melakukan suatu perbuatan". Baginda bersabda : 'Kerjakanlah puasa kerana tidak ada amalan yang setanding dengannya'. Saya berkata : 'Wahai Rasulullah, perintahkan kepadaku untuk melakukan suatu perbuatan'. Baginda bersabda : 'Kerjakan puasa kerana tiada amalan yang setanding dengannya'. Saya berkata : 'Wahai Rasulullah, perintahkan kepadaku suatu perbuatan'. Baginda bersabda : 'Kerjakan puasa kerana tiada suatu amalan pun yang dapat menyamainya'." (Hadis Riwayat An-Nasai dan Ibnu Khusaimah)



Dari Abu Sa'id r.a., beliau berkata : Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : " Tidaklah seorang hamba berpuasa sehari dimana dia berada di jalan Allah kecuali dengan berpuasa sehari itu Allah akan menjauhkan dirinya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh musim." (Hadis Riwayat Al-Bukhari, At-Tarmidzi dan An-Nasai)

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT :

"Ya Allah terimalah ibadah puasa kami, solat wajib dan sunat kami, solat tarawih kami , qiyamullail kami, sedekah kami,  iktikaf kami serta tadarrus kami dibulanMu yang mulia ini."

"Ya Allah pertemukanlah kami 'malam lailatul qadar' malam yang penuh berkat dan malam yang lebih baik daripada 1000 bulan"

"Ya Allah, terimalah semua ibadah-ibadah kami, taqarrub atau usaha kami mendekatkan hati dan diri kami kepadaMu dan jadikanlah kami semua orang orang yang muttaqin dan di beri pengampunanMu."

"Ya Allah berikanlah kepada kami rahmat-Mu, keampunan-Mu dan pembebasan daripada seksaan api neraka dan terimalah doa dan amalan kami. Tidak ada siapa yang dapat mengkabulkan doa kami melainkan Engkau, wahai Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang"



●●●●⊱●●⊱●●⊱Sebar-sebarkan Semoga Bermanfaat ●●⊰●●⊰●●●●

Rujukan:
https://www.facebook.com/layarMinda

Thursday, July 28, 2011

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Assalamualaikum

Setelah setahun menanti selepas ramadhan yang lepas akhirnya kita semua masih diberi peluang bagi tahun ini untuk bertemu semula dengan bulan Ramadhan yang penuh berkat dan rahmat.

Dengan ini kami dari Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi mengucapkan selamat menyambut ramadhan al-mubarak kepada muslimin & muslimat. Moga dengan kedatangan ramadhan ini, kita sama-sama mempunyai satu tekad, misi untuk melakukan ibadah puasa dengan sempurna, InsyaAllah.

Tahniah juga kepada pelajar lepasan STPM/Setaraf yang berjaya menempatkan diri ke Universiti Kebangsaan Malaysia terutamanya ke Fakulti Sains & Teknologi. 

Monday, July 18, 2011

Konsep Zuhud Yang Sebenar


Apabila disebut zuhud, orang terus memvisualkan keadaan yang miskin, susah, compang-camping. Ini adalah satu tanggapan yang salah. Hakikatnya zuhud itu konsepnya ialah manusia itu jiwanya mengawal dan bukannya dikawal oleh wang atau harta. Kerana itu masih ramai yang keliru apabila zuhud itu disebut dalam Islam tetapi pada masa yang sama orang Islam digesa mencari kekayaan dan kekuatan ekonomi.

Tidak salah mempunyai rumah yang besar, kereta yang mahal serta berkualiti serta harta yang melimpah ruah. Itu adalah yang terbaik apabila umat Islam mempunyai kuasa beli yang kuat untuk berbuat sesuatu. Bagaimanakah anda boleh membantu dan bersedekah sekiranya anda sendiri perlu dibantu dari segi ekonomi?

Tahukah anda Rasulullah menggunakan kuda perang yang terbaik dari baka Arab. Kalau kita bandingkan kuda itu dengan kenderaan sekarang ia seperti tahap kereta Ferrari dan Bentley. Malah Rasulullah mengarahkan supaya baka tersebut dikawal supaya ia tidak keluar dari tanah arab. Ia adalah supaya teknologi baka itu dikuasai oleh orang Islam.

Definisi Mencari Kekayaan Dalam Islam Dan Memanfaatkannya

Masalahnya sekarang ia definisi dan persepsi tentang kekayaan. Apabila hari ini anda jelas mengenai zuhud, maka anda faham bahawa mencari kekayaan itu perlu tetapi tunduk kepada kekayaan itu adalah salah. Tunduk kepada kekayaan disini bermaksud, manusia sanggup mengabaikan perintah Allah demi kekayaan. Manusia menjadi ujub dan takbur dengan kekayaan. Disinilah konsep zuhud dalam kekayaan itu telah hilang.

Kerana itulah juga agama dianggap sesuatu yang murah. Menghantar anak mengaji Al-Quran dengan RM40 masih dikatakan orang mahal tetapi kelas tuisyen dengan RM40 satu subjek dikatakan keperluan. Bukankah islam telah menerangkan tentang wasatiah iaitu keseimbangan ilmu dunia dan akhirat untuk kesejahteraan hidup? Jadi mengapa ada 'double standard' di situ?

Adakah Ilmu Agama Itu 2nd Class?

Ilmu agama tidak banyak membantu dalam kerjaya dan kehidupan? Anda silap. Ini adalah kerana anda tidak banyak mengkaji betapa ilmu spiritual begitu banyak membantu organisasi dan kehidupan manusia. Mengapa diseluruh dunia, organisasi menghabiskan berbilion dolar untuk program latihan berbentuk spiritual seperti pembangunan diri, pembangunan kerja kumpulan dan kepimpinan? Tahukah anda itu adalah cabang spiritual yang asalnya diambil dari ilmu keagamaan?

Jika kita merujuk teori Sigmund Freud tentang minda sedar dan separa sedar, ia adalah perkara berkaitan psikologi. Di dalam surah Al-Baqarah, Allah telah berfirman untuk kita mempercayai perkara ghaib. Ghaib disini bermaksud spiritual yakni agama. Begitu juga di dalam Al-Quran ada menyebut tentang peranan hati yang mana rosak atau baiknya hati ini, akan menentukan kejayaan seseorang. Jose Silva, salah seorang yang berpengaruh yang mana teori pembangunan mindanya begitu menekankan aspek spiritual dan diperkayakan oleh syarikat latihan seluruh dunia membangunkan modul. Kerana itu mereka yang terlalu ultra menggunakan konsep logik gagal memperoleh satu keputusan yang terbaik apabila mengabaikan perkara spiritual.

Kefahaman Zuhud Yang Sebenar Serta Hikmah Kepada Ummah

Apakah kaitan spiritual dan zuhud dalam perbincangan kita ini? Ianya sangat berkait rapat. Mengapa ramai yang berzuhud agak kurang membuat harta? Kerana mereka takut tidak dapat mengawal harta sebaliknya harta mengawal mereka. Mereka takutkan kerosakan yang boleh membawa mereka kepada kesesatan.Itulah jua maksud zuhud yang sebenar iaitu mengelak atau meninggalkan sesuatu kerana kehinaannya walaupun mampu untuk memperolehnya.

Kerana itulah, seorang manusia harus membekalkan diri dengan bekalan spiritual yang cukup bagi menemui kejayaan kehidupan. Kita terlalu digula-gulakan tentang kejayaan berdasarkan nombor dan wang ringgit tetapi akhirnya masih ada kegagalan. Kerana itu ramai hartawan dunia dilaporkan mati dibunuh dan membunuh diri. Mereka tidak mampu untuk mengelak dan meninggalkankan dunia tetapi akhirnya mereka meninggalkan jua semua itu dalam keadan yang menyedihkan. Bagaimana seseorang yang tidak membekalkan diri dengan kemampuan mengawal boleh mengawal sesuatu?

Fahamilah konsep zuhud dengan sebenar, maka insyallah kita akan menjadi insan yang amat berguna untuk diri sendiri, orang disekeliling serta masyarakat. Sudah tentulah juga kita mampu menjadi orang yang berguna dan mampu berbakti kepada agama seperti Abu Bakar As-Siddiq serta Abdur Rahman Auf yang mampu menginfaqkan harta mereka.

Wassalam.

Monday, July 4, 2011

Kehebatan di Bulan Syaaban

MAISARAH .. ARTIKEL ILUVISLAM

Rejab sudah berlalu. Kini Syaaban tiba. Lambaian Ramadan sebulan lagi. Kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban.
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda, "Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:
اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغّنا رمضان
"Allahuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadan"
Maksudnya: "Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan."

Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati.
Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak.
Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Rasulullah mengekalkan nama Syaaban sehinggalah sekarang.
Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya.
Diantara hadis yang paling masyhur ialah: Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya, "Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?" Para sahabat menjawab, "Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Sabda Rasulullah SAW, "Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).
Fadhilat Syaaban
Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan.
Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah SAW
Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
Bertaubat
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Peristiwa-peristiwa penting di Bulan Syaaban
1. Malam Nisfu Syaaban
Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : "Telah datang Jibril as pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata, Ya Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit!" Kata saya (Nabi Muhammad SAW): "Hai Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab: "Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu."
Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca: "Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha." Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa'idzin.
2. Penukaran Arah Kiblat
Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontroversi pada waktu itu.
Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.
Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah SWT.
Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.
Sebahagian ulama sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat.
Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya'. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.
3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi')
Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi.
Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madinah.
Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.
Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq.
Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.
Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya.
Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah.
Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq.
Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.
Begitu besarnya fadhilat bulan Syaaban. Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan ini untuk mengimarahkannya.