Monday, August 30, 2010
Program Ihya' Ramadhan PMFST
Thursday, August 19, 2010
Wednesday, August 18, 2010
Puasa dan Sains berkait???
(Artikel ini diterbitkan Majalah Kosmik DBP, bulan September 2008): Selepas ibadah solat yang merupakan rukun Islam yang kedua, umat Islam diwajibkan melaksanakan rukun Islam yang ketiga, iaitu berpuasa di musim Ramadan. Perintah ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, “Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelummu semoga kamu bertakwa.”
Umat manusia sebelum ini telah pun mengamalkan puasa dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh penganut agama Hindu berpuasa dan puasa mereka dalam bahasa Sanskrit dikenali sebagai upavaasa. Golongan Yahudi berpuasa pada hari Yom Kippur. Mengikut kitab Perjanjian Lama dalam bab Exodus 34:28, Nabi Musa bermunajat kepada Tuhan selama 40 hari dalam keadaan “tidak menjamah roti dan air.” Bagi penganut Kristian Roman Katolik pula musim berpuasa dikenali sebagai Lent. Dalam kitab Perjanjian Baru dalam bab Matthew 4:2 dan Luke 4:2, Nabi Isa dilaporkan berpuasa selama 40 hari 40 malam.
Dalam Islam, puasa bermaksud menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari. Secara dasarnya, puasa mempunyai beberapa kategori, pertama, puasa wajib sebagai contoh puasa kifarat, puasa nazar dan puasa Ramadan. Kedua, puasa sunat, seperti puasa enam hari pada bulan Syawal, puasa hari Arafah, hari Asyura pada 10 Muharam dan yang seumpamanya. Ketiga, puasa makruh, iaitu puasa yang dilakukan secara terus menerus pada sepanjang masa, kecuali pada sambutan dua hari raya dan hari-hari tasyrik. Keempat, puasa yang haram dilakukan, iaitu puasa pada hari pertama sambutan Aidilfitri, hari pertama sambutan raya Haji dan tiga hari tasyrik iaitu pada tanggal 11,12 dan 13 Zulhijah.
Ramadan merupakan satu bulan yang mulia. Umat Islam diwajibkan berpuasa di bulan ini justeru ia boleh dianggap sebagai satu Bulan Latihan dan Pendidikan. Dalam bulan inilah al-Quran diturunkan ke langit dunia sebelum diturunkan kepada nabi secara berperingkat-peringkat (rujukan: al-Asas fit Tafsir, Said Hawa). Allah berfirman, “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) pada bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Al-Baqarah: 185)
Hukum-hukum Puasa
Puasa di bulan Ramadan diwajibkan ke atas umat Islam bermula pada tahun ke-2 Hijrah dan ia wajib dilakukan selama sebulan. Sesiapa saja dari kalangan Muslim yang berakal (tidak gila), mencapai umur baligh (cukup umur) serta kuat lagi sihat wajib berpuasa.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, an-Nasa’i dan Baihaqi, nabi bersabda, “Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadan bulan yang penuh berkat. Allah memfardukan ke atasmu berpuasa dalamnya. Sepanjang bulan Ramadan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…”
Seperti ibadah-ibadah yang lain puasa mempunyai rukun-rukunnya. Rukun-rukun itu ialah, pertama, berniat pada malam hari (antara maghrib dan subuh) dan kedua, menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hinggalah terbenam matahari. Antara perkara yang boleh membatalkan puasa Ramadan ialah:
- Makan dan minum dengan sengaja di siang hari (dimaafkan jika seseorang melakukannya kerana terlupa).
- Muntah dengan sengaja (dimaafkan jika ia berlaku secara tidak sengaja).
- Mengeluarkan air mani pada siang harinya, contohnya melalui perbuatan onani. Jika air mani keluar kerana bermimpi ia tidak membatalkan puasa.
- Gila.
- Bersetubuh dengan perempuan di siang hari.
- Wanita yang datang darah haid atau nifas.
Islam tidak membebankan umatnya dengan sesuatu yang mereka tidak mampu lakukan. Berhubung dengan ini Allah berfirman, “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka) kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui.” (al-Baqarah ayat 184)
Justeru golongan tertentu yang keuzuran diizinkan untuk tidak berpuasa di musim Ramadan. Mereka ialah:
- Orang yang sakit.
- Orang yang dalam perjalanan jauh melebihi 53 batu atau 85 km (Rujukan: Fatwa Sheikh Atiyyah Saqr, Islamonline.net, 2/10/06).
- Orang tua yang lemah
- Wanita yang hamil atau yang menyusukan anak.
Mereka yang tidak berpuasa tanpa keuzuran telah melakukan satu dosa besar. Berhubung dengan ini Nabi bersabda, “Sesiapa berbuka puasa satu hari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)
Takwa Itulah Matlamat
Puasa ada matlamatnya. Dalam surah al-Baqarah ayat 183 Allah berfirman, “Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelummu semoga kamu bertakwa.” Dalam ayat ini dinyatakan dengan jelas tentang matlamat berpuasa iaitu, untuk mencapai status takwa. Mengapakah takwa menjadi matlamat dan tidak perkara-perkara yang lain?
Sebenarnya orang yang bertakwa merupakan orang kelas pertama yang tidak ada tolok bandingannya. Dia tidak akan menipu, tidak akan memberi dan menerima rasuah, tidak akan menyalahgunakan kuasa, tidak berbohong, tidak mencuri, berzina, merogol, membunuh, memaki hamun, bertindak zalim dan sebagainya. Dia adalah insan yang paling mulia. Berhubung dengan ini dalam surah al-Hujurat ayat 13 Allah berfirman, “Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu.”
Takwa merupakan kekuatan dalaman yang hebat lagi unik. Ledakannya mampu mengukir sejarah baru di dunia. Sahabat Omar al-Khattab pernah bertanya kepada sahabat Ubai bin Kaab tentang maksud takwa. Ubai berkata, “Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?” Jawab Omar, “Ya, pernah.” Ubai bertanya lagi, “Apa yang kamu lakukan ketika itu?” Omar berkata, “Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh (syammartu wajtahadtu).” Berkata Ubai, “Itulah takwa.” Dari jawapan Ubai bin Kaab ini dapatlah difahami bahawa takwa bermaksud “berhati-hati dalam hidup agar tidak melakukan sesuatu yang haram serta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap amal ibadah yang dituntut” (rujukan: Tafsirul Quranil Azim, Ibn Kathir).
Sahabat Abdullah ibn Masud mentafsirkan “sebenar-benar takwa” sebagai “melaksanakan taat tidak bermaksiat, sentiasa mengingati-Nya dan tidak alpa serta sentiasa bersyukur dan tidak kufur” (rujukan: al-Asas fit Tafsir, Said Hawa). Kemuncak kepada takwa ialah berhati-hati terhadap perkara yang harus kerana kadangkala apabila seseorang tenggelam dalam kelazatan yang diharuskan, dia lupa daratan. Ketika itu berkemungkinan dia akan terjebak dalam kemaksiatan. Sebagai contoh, jika seseorang bercakap terlalu banyak walaupun tentang perkara yang harus, dikhuatiri akhirnya dia mengatakan sesuatu yang haram seperti mengumpat. Demikian juga jika seseorang asyik berbelanja walaupun pada perkara yang harus, dia akhirnya akan mengabaikan hak mereka yang memerlukan. Berhubung dengan ini Nabi bersabda, “Seseorang tidak akan sampai ke makam takwa sehingga dia meninggalkan sesuatu yang harus kerana ingin menjaga dirinya dari sesuatu yang dilarang.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Ibn Majah dan mengikut Tirmizi, hadis ini bertaraf hasan gharib.
Tidak kesemua mereka yang beriman bertakwa kepada Allah. Justeru, dalam surah Ali Imran ayat 102-103, Allah mengarahkan mereka yang beriman agar bertakwa melalui firman-Nya, “Wahai mereka yang beriman bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” Puasa dapat membantu mereka yang beriman mencapai status takwa ini.
Adab-adab Berpuasa Ramadan
Latihan dan pendidikan yang terdapat di dalam Ramadan tidak akan menghasilkan takwa melainkan jika adab-adabnya dijaga dan dipelihara. Antara adab-adab itu ialah:
1- Berbuka dengan kurma dan air serta tidak berlebihan dengan makan minum. Anas bin Malik meriwayatkan, “Rasulullah berbuka dengan memakan beberapa ruthaab (iaitu kurma basah) sebelum solat, kalau tidak ada kurma basah maka baginda berbuka dengan kurma kering, kalau tidak ada maka dengan meneguk air beberapa teguk.” (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)
2- Bersegera berbuka puasa. Nabi bersabda, “Manusia berada dalam keadaan baik selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
3- Bersahur di pagi hari dan melewatkan pengambilannya. Nabi bersabda, “Makanlah sahur kerana sesungguhnya pada sahur itu ada berkat.” (Riwayat Bukhari) Zaid bin Thabit pula menceritakan, “Kami pernah bersahur bersama nabi kemudian kami bangun untuk melakukan solat (subuh).” Kemudian Zaid bin Thabit disoal, “Berapa lama masa antara keduanya (yakni antara makan sahur dan solat subuh)?” Berkata Zaid, “Sekadar membaca 50 ayat Al-Quran.” (Riwayat Bukhari)
4- Bersikap dermawan. Abdullah Ibn Abbas meriwayatkan, “Adalah Rasulullah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan.” (Riwayat Bukhari)
5- Bertadarus al-Quran secara konsisten. Abdullah Ibn Abbas meriwayatkan, “Jibrail menemui Nabi pada setiap malam Ramadan untuk bertadarus al-Quran, dan Rasulullah ketika itu lebih cepat mengerjakan kebaikan, lebih cepat daripada angin yang berhembus.” (Riwayat Bukhari)
6- Melaksanakan solat tarawih. Nabi bersabda, “Barang siapa yang
menghidupkan malam-malam Ramadan karena beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Diriwayatkan daripada Abu Salamah bin Abdur Rahman, sesungguhnya dia telah bertanya kepada Aisyah, “Bagaimana salat malam Rasulullah di bulan Ramadan? Aisyah menjawab, “Rasulullah tidak pernah melakukan salat malam lebih daripada sebelas rakaat baik di bulan Ramadan ataupun di bulan-bulan yang lain…” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
7- Beriktikaf terutama pada 10 terakhir Ramadan. Diriwayatkan daripada Aisyah, “Adalah Rasulullah mengamalkan iktikaf pada sepuluh hari terakhir di bulan Ramadan sehinggalah baginda wafat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
8- Mengejar Lailatulqadar. Nabi bersabda, “Berusahalah untuk mencari lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Pada ketika itu Nabi menyuruh umatnya memperbanyakkan bacaan doa yang bermaksud, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Engkau sukakan kemaafan maka ampunlah dosa-dosaku.” (Riwayat Tirmizi – Hasan Sahih)
9- Mengawal nafsu, mengelokkan perangai serta memelihara lidah. Nabi bersabda, “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dan amalan keji, maka tidak ada bagi Allah hajat (untuk menerima) amalannya meninggalkan makan dan minum.” (Riwayat Bukhari)
10- Merangsang keluarga agar beramal salih. Aisyah meriwayatkan, “Sesungguhnya Nabi apabila memasuki sepuluh hari terakhir di bulan Ramadan benar-benar menghidupkan malam (untuk beribadah) dan membangunkan isteri-isterinya (agar beribadah) dan baginda menguatkan ikatan sarungnya (iaitu tidak menggauli isteri-isterinya).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
11- Melaksanakan tanggungjawab sosial iaitu mengeluarkan zakat fitrah. Abdullah ibn Omar berkata, “Rasulullah mewajibkan zakat fitrah satu sha’ kurma atau satu sha’ syair ke atas budak, orang yang merdeka, laki-laki, wanita, anak-anak dan orang tua dari kalangan Muslimin, dan baginda memerintahkan agar (zakat tersebut) dikeluarkan sebelum manusia keluar untuk melaksanakan solat Aidilfitri.” (Riwayat Bukhari)
Mengeluarkan zakat fitrah merupakan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan di musim Ramadan. Ia difardukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Mereka yang dikenakan zakat itu ialah:
- Individu yang mempunyai lebihan makanan atau harta melebihi keperluannya serta tanggungannya untuk malam dan pagi hari Ramadan.
- Anak yang lahir sebelum matahari terbenam pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.
- Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan keislamannya.
- Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari di akhir Ramadan.
Mengejar Lailatulqadar
Apakah yang dikejar dalam hidup ini? Bagi ramai kanak-kanak di Britain, yang dikejar ialah kekayaan dan glamor. Itulah hasil kajian yang dilakukan ke atas 2500 kanak-kanak Britain berumur 10 tahun ke bawah baru-baru ini. Bagi mereka perkara yang paling penting dalam hidup ialah menjadi kaya dan terkenal. Kajian itu juga menunjukkan bahawa bagi kanak-kanak itu, pemain bola sepak Wayne Rooney adalah lebih terkenal daripada Nabi Isa (Jesus). Hal ini dilaporkan di http://www.news.com.au/ bertarikh 19 Disember 2005 di bawah tajuk Money, Fame Most Important: Kids.
Mengikut satu kajian oleh Pew Research seperti yang dilaporkan di World Street Journal Digital Network (http://blogs.wsj.com), bertarikh 16 June 2008, rakyat Amerika menganggap perkara yang paling utama dalam hidup mereka ialah:
- Mempunyai masa untuk melakukan apa yang disukai (67%).
- Berjaya dalam kerjaya (61%).
- Mempunyai anak (61%).
- Berkahwin (53%)
- Menjadi sukarelawan atau dermawan (52%)
- Berpegang pada agama (52%).
- Menjadi kaya (13%)
Di bulan Ramadan umat Islam dididik untuk mengejar benda yang paling penting lagi utama iaitu anugerah Allah apatah lagi bersempena lailatulqadar atau malam ‘al-Qadar’. Lailatulqadar merupakan satu malam yang luar biasa. Dalam surah al-Qadar ayat 1 – 5, Allah berfirman, “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang kebesaran malam lailatulqadar itu? Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turunlah malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.”
Pada malam inilah Allah menurunkan al-Quran sepenuhnya dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi secara berperingkat-peringkat. Hal ini dilaporkan dalam al-Jamik Li Ahkamil Quran oleh Imam Qurtubi, dan ia merupakan pendirian sahabat Abdullah ibn Abbas, Imam Qatadah, Said ibn Jubair, Ikrimah, Mujahid dan yang lain-lainnya.
Mengapakah ia dinamakan sebagai malam ‘al-Qadar’? ‘Al-Qadar’ bermaksud ketetapan. Hal ini disebabkan pada malam itu ditulis segala ketetapan yang berkaitan dengan hidup, mati, rezeki, sakit, sihat, bahagia dan yang seumpamanya bagi tahun yang berikutnya. Berhubung dengan ini Allah berfirman, “Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengutus rasul-rasul.” (ad-Dukhan 4-5) Hal ini dilaporkan di dalam al-Jamik Li Ahkamil Quran oleh Imam Qurtubi dan Tafsirul Quranil Azim oleh Imam Ibn Kathir.
Malam ‘al-Qadar’ memang merupakan satu malam yang istimewa. Beribadah pada malam ini adalah lebih baik daripada beribadah selama seribu bulan sebagaimana yang Allah nyatakan dalam surah al-Qadar ayat 3, “Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan”.
Berhubung dengan ini Imam At-Tabari dalam Tafsir at-Tabari berkata, “Pendapat yang paling tepat ialah pendapat yang mengatakan ‘lebih baik dari seribu bulan’ bermaksud ‘beramal pada malam al-Qadar sama pahalanya dengan beramal dalam seribu bulan yang tiada dalamnya malam al-Qadar (iaitu beramal dalam bulan-bulan selain Ramadan)’.”
Tambahan daripada itu, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam kitab al-Muwatta’ yang menjelaskan bahawa ganjaran pahala seribu bulan itu adalah sebagai gantian kerana umur umat di zaman ini adalah lebih pendek berbanding umat di zaman sebelum ini, sebagai contoh umat Nabi Nuh.
Mengejar Anugerah Allah
Mengejar malam al-Qadar mendidik umat Islam agar sentiasa mengejar untuk mendapatkan anugerah Allah dan bukannya anugerah manusia. Anugerah Allah terlalu istimewa. Cubalah bayangkan, siapakah yang sanggup memberi bonus 83 tahun kepada pekerjanya yang bekerja hanya pada satu malam? Tiada. Namun Allah sanggup memberi pahala 1000 bulan kepada mereka yang beramal pada satu malam iaitu malam al-Qadar. 1000 bulan menyamai 83 tahun. Anugerah Allah ialah ganjaran pahala dan kemuncaknya syurga atau jannah dan ia merupakan anugerah yang kekal abadi. Dalam sebuah hadis kudsi Allah berfirman, “Aku (Allah) telah sediakan bagi hamba-Ku yang salih (nikmat) yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah dirasai oleh hati manusia.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Untuk mencapainya amal ibadah perlu dilaksanakan dengan cara yang betul dan hati yang ikhlas secara bersungguh-sungguh. Allah berfirman, “Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah di samping melakukan kebaikan baginya ganjaran dari sisi Tuhannya, tidak ada ketakutan ke atasnya dan dia tidak akan berdukacita.” (Surah Baqarah ayat 112)
Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir berkata dalam Tafsirul Quranil Azim, “(Ayat ini) menjelaskan, Allah hanya menerima amal yang mempunyai dua kriteria, pertamanya ikhlas dan keduanya muhsin. Muhsin bermaksud melakukan sesuatu sesuai dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Jika sesuatu amal dilakukan dengan tulus ikhlas tetapi caranya tidak mengikut (syariat), ia tidak diterima (oleh Allah).”
Justeru melaksanakan amal salih dengan hati yang ikhlas dan cara yang betul sepatutnya menjadi agenda utama yang dikejar oleh umat Islam. Inilah yang dimaksudkan Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Haj ayat 46 yang bermaksud, “Harta benda dan anak pinak adalah perhiasan kehidupan di dunia. Al-Baqiah as-Solihat adalah lebih baik ganjarannya di sisi Tuhanmu dan lebih baik untuk dijadikan harapan.”
Ya, kita perlu mengejar al-Baqiah as-Solihat. Dalam Al-Quran dan Terjemahannya terbitan Mujamma’ Al-Malik Fahd Li Thiba’at Al-Mushaf, al-Baqiah as-Solihat diterjemahkan sebagai “amalan-amalan yang kekal lagi salih.” Al-Baqiah as-Solihat mengikut tafsiran Abdullah ibn Abbas dan Said bin Jubair ialah solat yang lima. Mengikut satu riwayat yang lain daripada Abdullah ibn Abbas, ia ialah kalimat yang baik. Mengikut Said bin Musayyib, ia adalah subhanallah, walhamdulillah, lailahaillallah, Allahuakbar dan lahaulawalaquwwataillabillah. Pendapat yang agak merangkumi lagi baik ialah daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam. Beliau berpandangan, al-Baqiah as-Solihat ialah kesemua amalan yang salih. Imam Ibn Jarir cenderung dengan pendapat ini.
Puasa dan Detoksifikasi
Matlamat puasa adalah untuk membina takwa. Untuk tujuan itu puasa perlu dilakukan dengan cara serta adab yang betul. Apabila kesemua ini dilakukan dengan sempurna, seseorang bukan sahaja akan memperoleh takwa, malah lebih dari itu dia juga akan memperoleh segala kebaikan yang lain. Antara kebaikan itu ialah meningkatkan kesihatan badan melalui proses detoksifikasi.
Detoksifikasi bermaksud mencuci dan membersihkan badan daripada racun atau toksin. Mengikut Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) dalam Adventures in Therapeutic Fasting, “Amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat hari ini ialah apabila seseorang menghidap penyakit, dia akan mengambil ubat untuk meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan suatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa ketika sakit. Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. Ketika berpuasa organ-organ dapat berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel. Puasa adalah cara rawatan yang tertua di dunia. Ia telah diamalkan oleh orang-orang terdahulu, malah Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan untuk pesakit-pesakit mereka. Plato, Socrates, Pythagoras dan Mahatma Gandhi sering kali berpuasa. Berpandukan kajian serta testimoni pesakit-pesakit, puasa didapati mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti asma, radang sendi, susah tidur, gangguan pada sistem penghadaman serta penyakit kulit.”
Mengikut Dr. Cindy Engles (Ph.D) pula dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn From Them, “Binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan. Ia bermanfaat bukan sahaja untuk binatang malah juga untuk manusia. Puasa akan mencepatkan kesembuhan kerana secara umumnya bakteria memerlukan zat besi untuk bertindak justeru dengan menghindari makanan, bakteria akan ketandusan zat besi dan keadaan ini akan melemahkannya.”
Berpuasa dalam bentuk menghindari makan minum dalam jangka masa yang pendek memang tidak memudaratkan. Dalam sebuah jurnal perubatan berprestij, The Lancet, disebutkan, “Puasa selagi mana tidak menyebabkan kelemahan badan yang bersangatan adalah tidak memudaratkan. Jika berlaku kematian ketika berpuasa, punca kematian dari sebab-sebab lain selain puasa perlulah diterokai terlebih dahulu…” (Rujukan: Stewart, W., Fragmentation Of Cardiac Myofibrils After Therapeutic Starvation, Lancet i:1154. 1969)
Tambahan daripada itu, kajian yang dilakukan di Universiti Utah ke atas golongan Mormon yang berpuasa hanya sehari dalam sebulan mendapati ia merendahkan risiko mereka menghidap sakit jantung. Hal ini dilaporkan dalam artikel bertajuk Fasting? It’s Good For The Heart di http://www.earthtimes.org/ bertarikh 7 November 2007.
Penemuan yang sama diperoleh berdasarkan satu lagi kajian yang dikenali sebagai Intermountain Heart Collaborative Study. Dalam kajian ini 515 pesakit telah diuji kaji di sudut kesihatan jantung. Kajian ini mendapati mereka yang kerap berpuasa mempunyai risiko yang rendah menghidap sakit jantung. Puasa dalam kajian ini ditakrifkan sebagai meninggalkan jadual makanan utama, paling kurang, 2 kali berturut-turut (no food or drink for at least two consecutive meals). (Rujukan: McClure BS, May HT, Muhlestein JB, et al. Fasting May Reduce The Risk Of Coronary Artery Disease. American Heart Association 2007 Scientific Sessions; November 6, 2007; Orlando, FL. Abstract 3642)
Leon Chaitow (N.D., D.O., M.R.O.), pensyarah kanan di University of Westminster, London dan juga penulis kepada 50 buku yang berkaitan dengan kesihatan dan perubatan alternatif merumuskan, “Walaupun puasa mempunyai risiko dan kesan sampingannya, namun berpuasa dengan tidak menjamah makanan dan minuman dalam jangka masa yang pendek adalah amat selamat.” (Rujukan: Fasting for Health and as an Anti-Aging Strategy, www.healthy.net)
Puasa di bulan Ramadan boleh dianggap sebagai puasa jangka pendek. Justeru, secara dasarnya ia adalah amat selamat dan tidak memudaratkan.
Ramadan dan Kesihatan
Pada tahun 1994, kongres antarabangsa pertama bertemakan ‘Kesihatan dan Ramadan’ diadakan di Casablanca. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kertas kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa di musim Ramadan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan malah sebaliknya ia mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. (Rujukan: The Spiritual and Health Benefits of Ramadan Fasting,
Dr. Shahid Athar, M.D., www.crescentlife.com )
Walau bagaimanapun pengecualian daripada berpuasa diberikan kepada penghidap penyakit-penyakit serius lagi kronik seperti sakit jantung, buah pinggang, migrain yang bersangatan, batu karang dalam buah pinggang dan yang seumpamanya. Pengecualian ini memang diizinkan agama kerana Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud, “Sesiapa antara kamu yang sakit atau bermusafir (maka bolehlah dia berbuka puasa) dan gantikannya pada hari yang lain.”
Jika penyakit yang menimpa seseorang begitu serius sehingga tidak ada harapan lagi untuk sembuh, beliau tidak perlu berpuasa sama sekali. Sebagai gantinya beliau diwajibkan membayar fidyah sebagai menggantikan puasa yang terpaksa ditinggalkannya. Hal ini telah disebutkan dalam Fatawa Muaasirat oleh Dr. Yusof al-Qardawi.
Namun secara umumnya, berpuasa di bulan Ramadan amat menyihatkan. Sebagai contoh, pada tahun 1984, Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman melakukan kajian ke atas 42 orang lelaki (berumur 15-64 tahun) dan 26 wanita (berumur 16-28 tahun) yang berpuasa Ramadan. Darah mereka diperiksa untuk mengenal pasti kadar cortisol, testosterone, sodium, potassium, urea, glucose, cholesterol dan asid lemak. Pada ketika yang sama, berat badan mereka ditimbang di awal dan di akhir Ramadan.
Di Universiti Sains Perubatan Tehran pula, Dr. F. Azizi dan rakan-rakannya membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadan. Pemeriksaan darah untuk mengukur kadar glucose, bilirubin, calcium, phosphorus, protein, albumin, follicle stimulating hormone, thyroid stimulating hormone, testosterone, prolactin, luteinising hormone, thyroxine-4 dan thyroxine-3 telah dilakukan sebelum Ramadan dan pada hari kesepuluh, kedua puluh dan kedua puluh sembilan Ramadan. Di samping itu, berat badan mereka ditimbang. Ujian-ujian ini menunjukkan puasa menurunkan paras gula di dalam darah ke tahap yang rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu kolesterol LDL (low density lipoprotein) menurun dan sebaliknya kolesterol baik iaitu kolesterol HDL (high density lipoprotein) meningkat. Paras lemak di dalam darah secara umumnya juga menurun. Kajian-kajian ini menunjukkan, puasa di musim Ramadan tidak memudaratkan kesihatan. Malah sebaliknya ia memberi kesan yang baik kepada metabolisme badan sekali gus mencegah serangan pelbagai penyakit terutamanya yang berkaitan dengan lebihan gula dan lemak. Fakta-fakta ini dilaporkan di dalam Islamic Perspectives in Medicine oleh Dr. Shahid Athar terbitan American Trust Publications, Indianapolis.
Dalam satu lagi kajian yang dilakukan ke atas 32 lelaki yang berpuasa Ramadan, peratus kolesterol secara keseluruhannya (total cholesterol) didapati menurun 7.9% (7.9%, p<0.001)>dan lemak trigliserida (triglycerides) juga menurun sebanyak 30% (30%, p<0.001)>(Rujukan: Annals of Nutrition and Metabolism, 41: 242-249, 1997) Kesemua ini menunjukkan bahawa berpuasa di bulan Ramadan sememangnya baik untuk kesihatan.
Puasa dan Kesihatan Mental
Otak manusia mendapat banyak manfaat melalui puasa. Malah puasa juga mendatangkan kesan yang amat positif kepada otak haiwan. National Institute on Aging (Amerika) pernah melakukan kajian ke atas tikus-tikus. Tikus-tikus ini diberikan makanan mengikut jadual kemudian disusuli dengan berpuasa secara berselang-seli. Selepas itu sejenis bahan kimia toksik kepada saraf (neurotoxin) yang boleh menyebabkan penyakit seumpama Alzheimer (penyakit kelupaan) kepada manusia diberikan. Tikus-tikus yang berpuasa dalam bentuk seperti yang dinyatakan sebelum ini memiliki ketahanan sehingga mampu memelihara kesihatan sistem sarafnya. Penemuan ini dilaporkan di dalam Proceedings of the National Academy of Sciences Online Edition, April 28. (Rujukan: Fasting Benefits Glucose Metabolism, Nerve Cells, physiciansweekly.com July 28, 2003, Vol. XX, No. 28) Bukanlah suatu yang mustahil jika dikatakan kesan yang lebih kurang sama juga dapat dirasai oleh manusia yang berpuasa.
Kajian dari Universiti Kentucky pula mendapati berpuasa dapat mengurangkan kesan negatif ke atas pesakit yang mengalami kecederaan sederhana di bahagian otak. Kajian yang diketuai oleh Patrick Sullivan dari UK Spinal Cord and Brain Injury Research Center ini mendapati proses kesembuhan ke atas otak yang cedera berlaku secara signifikan apabila pesakit-pesakit berkenaan berpuasa selama 24 jam. Hal ini mungkin disebabkan oleh keton (ketones) yang terhasil dalam darah orang yang berpuasa. Keton (ketones) didapati berperanan mencegah proses kerosakan yang berlaku ke atas sistem saraf (neuro-protective). Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Neuroscience Research. (Rujukan: Fasting Can Reduce Brain-Injury Impact, http://news.uky.edu/, 14 Mac 2008)
Puasa juga merangsang pengeluaran hormon yang dikenali sebagai endorphin. Hormon tabii ini berfungsi seperti dadah jenis candu (opiates) yang menghilangkan kesakitan serta mendamaikan minda justeru mencegah daripada serangan penyakit mental.
Tambahan daripada itu puasa juga membantu tidur dan hal ini adalah penting terutamanya bagi golongan tua. Oleh sebab proses pemulihan badan berlaku ketika tidur kemampuan untuk tidur dengan nyenyak menjamin kualiti proses pemulihan itu. Berdasarkan analisis terhadap gelombang otak melalui graf elektroensefalogram (EEG) pakar-pakar mendapati tidur adalah lebih nyenyak di musim Ramadan berbanding di bulan-bulan lain. Perubahan-perubahan positif ini membantu fokus dan konsentrasi umat Islam di musim Ramadan dan menjadikan mereka lebih produktif. Penemuan-penemuan ini dilaporkan oleh Dr. Ebrahim Kazim (M.B.B.S., M.R.C.P.) dalam bukunya Further Essays on Islamic Topics. Beliau merupakan pengasas dan pengarah Akademi Islam Trinidad. (Rujukan: Dr. Ebrahim Kazim, Fasting and Your Biological Rhythms, http://www.islamonline.net/, 12 November 2002)
Bersahur dan Sains
Bersahur merupakan salah satu amalan penting di bulan Ramadan Terdapat banyak hadis nabi yang sahih yang menekankan tentang kepentingannya. Antaranya ialah hadis nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah yang bermaksud, “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan.” Dalam hadis ini bersahur dikaitkan dengan keberkatan. Keberkatan bermaksud rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.
Dalam riwayat yang lain oleh Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasai, nabi bersabda, “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan ahli kitab ialah makan sahur.” Begitulah status kepentingan bersahur sehingga ia menjadi pembeza antara puasa umat Islam dengan ahli kitab.
Ketika bersahur, umat Islam disuruh melewatkannya kerana nabi bersabda, “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka puasa.” Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad. Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu subuh dan berhubung dengan ini Zaid bin Thabit pernah berkata, “Kami pernah bersahur bersama nabi kemudian kami bangun untuk melakukan solat (subuh).” Kemudian Zaid bin Thabit disoal, “Berapa lama masa antara keduanya (yakni antara makan sahur dan solat subuh)?” Berkata Zaid, “Sekadar membaca 50 ayat Al-Quran.” Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari.
Ketika merumuskan tentang kepentingan bersahur, Imam Ibn Abdil Bar berkata, “Hadis-hadis yang menerangkan tentang kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur kesemuanya adalah bertaraf sahih dan mutawatir.” Hal ini nyatakan di dalam Bustanul Akhbar Mukhtasar Nailul Authar (Pustaka Bina Ilmu, Surabaya) terjemahan A. Qadir Hassan, Mu’ammal Hamidy, Drs. Imron Am dan Umar Fanany B.A.
Penekanan nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi (breakfast). Kajian semasa menunjukkan makanan yang paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi.
BBC News bertarikh 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi adalah amat penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu yang lain. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Mark Pereira dan rakan-rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati, mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan menghidap penyakit kencing manis. Kajian yang sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang bersarapan pagi.
Hal ini menjadi lebih penting ke atas kanak-kanak yang berpuasa kerana kesan meninggalkan sarapan pagi ke atas kanak-kanak adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil. Kajian-kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun dari tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.
Tambahan daripada itu, satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakan-rakannya ke atas 700 pelajar-pelajar dari Louisiana menunjukkan, mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah dan ini akan menyebabkan penyakit anemia (iaitu suatu penyakit yang berkaitan dengan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.
Justeru secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur tidak akan mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian-kajian yang dipaparkan ini. Lebih daripada itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunah nabi dan waktu sahur juga merupakan waktu yang dipenuhi keberkatan.
Berhubung dengan ini Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 15-17, “Katakanlah, ‘Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa terdapat syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hambanya. (Iaitu) orang-orang yang berdoa, Ya Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari seksa neraka. (Merekalah) orang-orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya di jalan Allah dan yang memohon ampun di waktu sahur’.”
Konklusi
Tidak syak lagi puasa adalah kuasa. Hal ini disebabkan Ramadan bermanfaat untuk manusia moden dan kemanfaatannya pula adalah berbentuk menyeluruh lagi holistik Ia merangsang kebaikan dalam pelbagai aspek, antaranya di penjuru:
- Spiritual: Melalui ibadah seperti solat dan zikir.
- Peningkatan Ilmu: Melalui kajian al-Quran.
- Kesihatan Mental: Melalui tafakur, reda serta pengeluaran hormon endorphin yang mendamaikan.
- Kesihatan Fizikal: Melalui metabolisme badan yang terkawal.
- Pembinaan Akhlak dan Jati Diri: Melalui latihan kesabaran, pengawalan pancaindera serta ketabahan memikul tanggungjawab.
- Amanah dan Integriti: Melalui keikhlasan dan istiqamah walaupun andai kata kita berbuka puasa tidak ada sesiapapun yang mungkin mengetahuinya.
- Mementingkan Keutamaan: Melalui fokus mengejar janji Allah berkaitan Lailatulqadar.
- Mementingkan Kualiti: Melalui kesedaran bahawa ibadah puasa perlu dihalusi kerana ia bukan sekadar meninggalkan makan minum.
- Pengurusan Masa: Melalui sistem waktu solat dan puasa yang perlu dijaga.
- Keharmonian Keluarga: Melalui konsep kebersamaan ketika bersahur, berbuka puasa dan bersolat.
- Maslahat Kemasyarakatan: Melalui zakat fitrah serta solat berjemaah.
- Produktiviti: Melalui peningkatan fokus dan konsentrasi.
- Ekonomi: Melalui penjimatan wang serta pengawalan hawa nafsu.
- Ledakan Kreativiti dan Lonjakan Paradigma: Melalui kedamaian dan kesucian hati yang menjadi semaian kepada ilham yang meledakkan idea-idea baru.
Memang benar, puasa ialah kuasa. Kesemua ini akan terhasil jika puasa dilakukan secara yang betul dengan memelihara segala adabnya. Jika tidak kita hanya akan mendapat lapar dan dahaga semata-mata. Nabi bersabda, “Berapa ramai orang yang berpuasa yang tidak mendapat sesuatu apa pun daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga.” (Riwayat Ibn Majah)
Nukilan Dr Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B. Alexandria)
Prof. Dr Shahidan Radiman : Wacana Islam Wacana Baru Ilmu
Prof. Dr Shahidan Radiman : Wacana Islam Wacana Baru Ilmu
Terpencar-pencar. Ketika datangnya pasca-modenisme, tiada lagi penunggalan idea. Setiap idea adalah mewakili dirinya sendiri, dan tidak lagi wajar dihubungkan secara mutlak dengan mana-mana idea induk, atau idea asalan.
Begitu juga agama. Dalam pasca-modenisme, sukar untuk dirumuskan mana satu idea yang berhak mewakili agama tersebut. Islam mithalnya, kini jelas terpencar-pencar tafsirannya. Mazhab adalah kata lama kepada soal ini. Justeru, bila lahirnya mazhab Sains Islam, gagasan ini tidak harus diitlakkan kepada kritikan Pervez Hoodbhoy dan Abdus Salam terhadap kumpulan yang mengatasnamakan Sains Islam di Pakistan semata. Sebab, Sains Islam bukannya berkerja untuk menyukat Fahrenheit neraka.
Malah, dalam Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) sendiri turut ada pertembungan idea sewaktu mencerap gagasan Sains Islam. Wawancara kali ini, Prof. Dr. Shahidan Radiman–lulusan University of Cambridge dalam fizik ujikaji, kini berlibat dalam penyelidikan nanoteknologi, AJK ASASI, di samping juga akademia di Sains Nuklear, Fakulti Sains & Teknologi, UKM–turut berkongsi pada khalayak Ummahonline.com mengenai Sains Islam ini.
Dari sudut bahasa, apa bezanya sains, ilmu, al-’ilm, knowledge, science, dan Scientia? Apakah terjemahan yang tepat untuk “Islamization of knowledge” yang dianjurkan oleh Ismail Faruqi?
Sains merujuk kepada ilmu tentang sunnatullah atau hukum jirim di alam semesta. Dengan memahami sifat fizik jirim-jirim ini maka teknologi boleh dibangunkan. Sebagai contoh, berdasarkan pengetahuan Mekanik Kuantum, teknologi pada skala nanometer dapat dibangunkan dengan mengaplikasi pengetahuan bidang ini ke dalam kajian fizik dan kimia dan sekarang ini biologi untuk membangunkan bidang nanobiologi. Perkataan “Ilmu“ secara umumnya bermaksud sebarang ilmu pengetahuan yang ada dalam diri manusia (secara instinct) atau secara usaha ( kasbi) atau yang dianugerah oleh Allah s.w.t (contohnya ilmu ladunni atau secara ilham). Knowledge pula hampir sama maksudnya dengan ilmu, cuma sebab ia adalah istilah Barat, sudah pastinya ilmu ini hanya mencakup hal keduaniaan, sedangkan bagi orang Islam ilmu atau knowledge itu mencakup dunia-akhirat, malah alam barzakh sekali. Science sama dengan sains dan scientia, sebab sains moden berasal dari Yunani dan kemudian dipelopori oleh saintis Islam.
Bagaimana sejarah dan kemunculan gagasan Pengislaman Ilmu? Apakah peranan dan sumbangan Sayyed Hossein Nasr dan Syed Muhammad Naquib al-Attas pula dalam gagasan ini? Dan, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan gagasan Pengislaman Ilmu, atau Sains Islam ini?
Sejarah dan gagasan Pengislaman Ilmu datang kemudian, kalau tak silap saya melalui tulisan Ziauddin Sardar, Ismail Faruqi dan pemikir Islam yang lain pada awal 80an lagi. Di Malaysia pada waktu itu pun sudah ada kesedaran “dakwah”. Secara amnya PengIslaman Ilmu ini perlu, sebab rata-rata ilmu yang diterapkan dalam pendidikan sekular di Negara Islam sendiri yang diambil dan diciplak dari Barat bersifat ateistik, dunia-sentrik malah nyah-Tuhan, baik dari andaian (dalam teori dan hipotesis) mahupun dari segi tujuan atau matlamat pendidikan sekular itu. Seyyed Hossein Nasr dan Syed Muhammad Naquib al-Attas keduanya aliran Sufi. Hossein Nasr tentunya aliran Sufi Iran atau Irfan sedangkan Syed Naquib daripada aliran Sufi Alawiyyin atau tareqat para habib. Bagi saya aspek Tasawuf atau Sufi itu sangat penting, sebab rata-rata dunia Islam telah meninggalkan aspek kerohanian dan kebatinan amaliah – terlalu menekankan aspek syariat dan jihad (bukan jihad an Nafs) sehinggakan menjadi ritualistik. Perjalanan Sufi lebih halus, lebih indah dan kudus. Ilmu Islam dan amalan tasawufnya begitu mendalam dan meresap untuk mudah dan indah dihayati. Itu sebabnya Islam mudah berkembang di Barat melalui Sufisme.
Apakah Pengislaman Ilmu cuba melakukan pemadanan sains dan Islam sepertimana yang dilakukan oleh Harun Yahya, Abdul Razzaq Naufal, dan kalangan ‘Bucaillisme’ yang lain? Sebab, terdapat kecenderungan di kalangan ini yang mendakwa bahawa banyak penemuan teori-teori besar adalah milik asal Islam. Ini dapat kita lihat keseronokan mereka yang mendakwa teori dentuman besar, teori kenisbian, dll adalah Islamik dan serasi dengan al-Qur’an. Apakah begitu? Atau, ini satu perampasan identiti penemuan Sains Barat di sebalek kemalasan/kelambatan umat Islam untuk menyelidik? Atau juga, bukan kedua-duanya? Atau, bagaimana?
Pemadanan Islam dan Sains seperti yang dilakukan Harun Yahya, Abdul Razzaq Naufal dan ahli Bucailist juga penting untuk menonjolkan bahawa Islam serta ilmu pengetahuan yang ada dalam Quran dan Sunnah itu relevan, terkehadapan malah dapat merungkai pelbagai misteri zaman moden. Cuma, kita telah meletakkan satu halangan di situ sebab banyak dari penerangan ini menekankan kepada aspek fakta dan rasionalisasi. Penemuan baru boleh mengubah fakta itu dan rasionalisasi juga akan berubah mengikut trend baru dan teori baru, sedangkan ilmu al-Quran dan as Sunnah itu bersifat terbuka, mencapah, boleh ditafsir dan ditakwil – juga tidak saja mencakup fenomena alam ini malah alam yang akan datang, yang ghaib dan Ghaibul Ghuyub. Rahsia angka 19 yang ditonjolkan oleh Rashad Khalifa juga amat menarik, malangnya beliau (berdasarkan numerologi 19 itu juga) menolak beberapa ayat al-Quran yang kononnya ditambah oleh sahabat r.a pada zaman Saidina Uthman r.a . Perkara ini membawa kepada pembunuhannya.
Bukankah rahmat teknologi yang kita nikmati dewasa ini adalah hasil daripada kekayaan ilmu yang diolah dari Tamadun Barat? Dan ternyata, Islam menerusi ummatnya tidak dilihat pun dapat menyaingi kemajuan Barat tersebut. Malah, kita sentiasa mengekorinya saja. Jadi, bukankah kita hanya menumpang/menikmati kelebihan sains dari Barat, di mana Sains Islam tidak pun dapat menawarkan apa-apa teknologi yang menarik pada hari ini?
Untuk menyatakan bahawa teknologi yang dibawa dari Barat itu satu rahmat tanpa melihat bahawa ada banyak elemen yang disumbangkan oleh ahli sains Islam pada Middle Ages itu termasuk sumbangan pengetahuan kuno yang dimodenkan dari China dan India menunjukkan sifat taksub – Barat yang melulu. Bagi orang Islam, susah –payah, cabaran dan dugaan yang dilalui ketika ini juga adalah nikmat, sebab selagi kita masih beriman dan iman merupakan nikmat yang tertinggi, maka apalah cabaran dan dugaan itu? Tidakkah orang yang beriman itu akan dicuba dan diduga seperti yang disebut dalam al-Quran. Segala kenikmatan dan kesenangan tamadun Barat merupakan Istidraj (nikmat yang diberi oleh Allah tetapi dalam keadaan Allah s.w.t murka) sedangkan kita mahupun nikmat yang diberikan kepada ummah, betapa sedikit dan kecil berbanding tamadun Barat sebenarnya besar ertinya dan luas hikmahnya. Dalam erti lain, nikmat yang maknawiyah itu yang lebih penting dan kekal bagi ummah.
Kenapa kita sepertinya tidak pernah dengar terdapat sains yang cuba dikaitkan dengan agama, atau unsur-unsur kepercayaan lain. Mithalnya, tidak pernah kita mendengar adanya Sains Lao-Tze, Sains Budhha, Sains Hindu, atau Sains Zoroaster, dll. Bahkan, Barat tidak pula menamakan sains mereka yang hebat pada hari ini sebagai Sains Kristian. Tapi, Islam atau muslim umpamanya, begitu ‘istimewa’ dan ‘terhegeh-hegeh’ untuk melekatkan sains dengan agama. Jadi, mengapa sains perlu disandarkan kepada Islam, yang jelas sesuatu tindakan yang tidak dilakukan dilakukan oleh agama dan kepercayaan lain?
Kita tak pernah dengar agama lain cuba mengAgamakan Sains dan Teknologi, jadi mengapa pula nak MengIslamkan Sains dan Teknologi? Ada beberapa sebab, antaranya:
(i) Sistem agama lain tidak sesempurna dan mencakup seperti sistem Islam – cakap apa bidang apa, aspek mana – Islam ada jawapan dan contoh prinsipnya.
(ii) Sebab Sains dan Teknologi telah disekularkan. Kalau elemen Kristianiti di masukkan (di Barat) mungkin lebih mudah, sebab ada banyak persamaan antara Islam dan Kristian.
(iii) MengIslamkan menunjukkan ada elemen penting Sains dan Teknologi yang begitu jelas bertentangan dengan Islam atau kafir. Contohnya peranan Tuhan, peranan alam ghaib, syariat dalam etika sains dan teknologi dan lain-lain. Itu sebabnya, khasnya dalam bidang yang bersifat batasan seperti Kosmologi – jika pandangan Ilmu kalam dapat dimasukkan bererti pengIslaman itu sudah berlaku. Ahli kalam banyak bertitik tolak dengan soalan falsafah seperti kewujudan, kesemestaan dan keTuhanan.
(iv) Sebenarnya ada beberapa aspek khasnya Fizik tenaga Tinggi yang cuba mengaitkan aspek simetri dan aljabar dengan Zen Buddhisme dan Taoisme – tapi jika diperhalusi ia juga boleh dihuraikan oleh prinsip yang terdapat dalam Sufisme.
Dikatakan sains itu tidak bebas nilai. Tapi, apakah bezanya sains di Barat dengan sains yang difahami dalam Islam? Sebab, tiada nampak beza antara nombor “1″ dalam Islam dengan nombor “1″ dalam Barat? Begitu juga, apa bezanya fizik kuantum/geometri/anatomi-manusia di Barat, dengan fizik kuantum/geometri/ anatomi-manusia dalam Islam? Bukankah semua ilmu adalah sama di mana-mana, dan pada bila-bila masa?
Sains jelas tidak bebas nilai. Bagaimana mungkin, sedangkan pengkaji dan pemikirnya lahir dalam sesuatu masyarakat yang tebal dengan budaya dan bahasanya. Itu sebabnya kajian etnosains dan etnomatematik itu penting. ASASI mendukong kajian seperti ini, sebab kita mahu menjadikan Sains Islam dan Bahasa Melayu sebagai acuan dan wadah semua pewacaan ilmu Sains di rantau ini. Seterusnya, aplikasi sains yang dipanggil teknologi itu juga sangat kental budaya – dependent. Saya lebih suka jam yang berputar melawan jam (tapi tak ada dijual di kedai), atau sistem yang berdasarkan tangan-kanan dan sebagainya, atau cara membuat tandas dan hiasan rumah, atursusun bilik dirumah, banyak lagi- orang Cina lebih suka guna Fung Shui, tapi bagi orang Islam lebih rumit lagi susunaturnya (jika dikaji lebih mendalam).
Definisi sains yang dikemukakan oleh Shaharir Mohamad Zain dalam Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains ialah, “sains berupa analisis fenomenon secara bersistem, mantik dan objektif dengan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpukan pengetahuan yang boleh dipercayai.” Jadi, adakah Pengislaman Ilmu bertujuan untuk memasukkan aspek-aspek metafizik, ketidakmantikan, dan diluar-kerasionalan? Tapi, bukankah pula sukatan dan kaedah ilmu yang digunakan oleh sains dalam definisi tersebut paling disepakati oleh semua pihak, kerana Sains Barat ternyata sangat empirikal dan mudah dipercayai. Tidak begitu?
Ya, dalam Islam banyak aspek yang tak-rasional (bukan konotasinya tak baik) oleh itu lebih baik dipanggil supra-rasional. Bukan tak mantik tapi “higher order logic” dan sudah tentu metafizik dan falsafah berkait rapat dengan Sains (tak asing dalam kajian ilmu-ilmu Islam) – lihat saja perbincangan dalam bidang Kuantum. Tapi, asasnya ialah yang rasional yang tekal dan yang simetrik! Kalau nak go beyond , ini pun jalannya yang diterokai oleh ahli fizik teori. Hal sama sebenarnya menjadi isu hangat dan perbezaan premis diantara Ibn Rushd dan Imam Al Ghazali. Bagi al-Ghazali, metafizik dan alam ghaib perlu dimasukkan dalam korpus perbincangan ilmu rasional, tetapi bagi Ibn Rushd, ia patut diasingkan. Jelas, pendekatan Ibn Rushd bertentangan dengan sistem wahyu – contohnya al-Quran: ia mengandungi kedua-dua aspek rasional dan supra-rasional, fizik dan metafizik, ibarat dan missal, duniawi dan ukhrawi.
Jadi, apa yang boleh disumbangkan oleh Sains Islam kepada dunia keseluruhannya? Dan di mana kerugiannya jika kita melanggan Sains Barat?
Banyak yang boleh disumbangkan, khasnya untuk membawa kepada Sains yang berteraskan Tauhid. Nak assess perkara ini perlu ada siri Wacana!
Akhir sekali, apa halangan yang maseh wujud dalam memperkasakan lagi gagasan Pengislaman Ilmu ini?
Sebenarnya tak ada halangan – seperti biasa sikap orang Melayu Muslim itu sendiri – biasalah, perkara yang sukar, yang perlu kajian mendalam, yang perlu taakul dan sebagainya jadi lambat dan sukar diterima!
Wawancara oleh Aqil Fitri
Editor UmmahOnline
Monday, August 16, 2010
KENDERAAN FUTURISTIK MASA DEPAN
ANDA kagum dengan kemampuan ahli sarkas menaiki basikal dengan satu roda? Itu belum lagi motosikal dengan satu roda yang akan diperkenalkan sebagai kenderaan peribadi masa depan.
Motosikal pelik ini yang dibangunkan oleh Honda ini menggunakan tenaga elektrik berkuasa hidrogen direka untuk tujuan rekreasi atau pengangkut peribadi.
Motosikal yang dijangka boleh digunakan dalam masa 10 tahun lagi ini mempunyai kedudukan seperti menaiki motosikal dilengkapi dengan pelbagai siri sensor dan giroskop untuk memberi keseimbangan kepada penunggang.
Penunggang boleh menggunakan palang pemegang di sebelah kiri untuk menjalankan kenderaan dan pusingan kiri kanan boleh dilakukan dengan pergerakan berat badan tanpa menggunakan stereng.
Kenderaan dikenali sebagai BRP EMBRIO ini akan dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini seperti sistem brek prestasi tinggi, suspensi aktif, `night vision’, alat bantuan robotik dan kunci digital berkod.
Kenderaan konsep ini dibina dengan bahan-bahan ringan seperti Polypropylene, Santoprene, nilon (acuan suntikan), aluminium, magnesium dan teknologi sel bahan bakar yang menjadikan EMBRIO sebagai kenderaan mesra alam.
Thursday, August 12, 2010
Bicara Sains:Teori Big Bang Tercantum dalam Al Quran
Allah berfirman :
Kata "ratq" yang di sini diterjemahkan sebagai "suatu yang padu" digunakan untuk merujuk pada dua zat berbeda yang membentuk suatu kesatuan. Ungkapan "Kami pisahkan antara keduanya" adalah terjemahan kata Arab "fataqa", dan bermakna bahwa sesuatu muncul menjadi ada melalui peristiwa pemisahan atau pemecahan struktur dari "ratq". Perkecambahan biji dan munculnya tunas dari dalam tanah adalah salah satu peristiwa yang diungkapkan dengan menggunakan kata ini.
Ketika kita bandingkan penjelasan ayat tersebut dengan berbagai penemuan ilmiah, akan kita pahami bahwa keduanya benar-benar bersesuaian satu sama lain. Yang sungguh menarik lagi, penemuan-penemuan ini belumlah terjadi sebelum abad ke-20.Untuk pengetahuan yang lebih lanjut akan disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Arip Kasmo pada malam ini...
BIcara Sains:"Ilmu Sains" di dalam al-Quran dan Lain-lain Kejanggalan
"Ilmu Sains" di dalam al-Quran
dan Lain-lain Kejanggalan
Dewasa ini, ramai para Muslimin telah muncul dan mempelopori teori mereka bahawa dalam Quran itu kononnya ada banyak fakta-fakta dan mujizat saintifik. Banyak laman-laman web, buku-buku serta video telah dicipta orang-orang Islam yang cuba menonjolkan Islam itu sebenarnya berpunca dari Allah, kononnya disokong oleh hujah-hujah yang 'tepat secara saintifik' dalam al-Quran dan Hadith. Kebanyakan risalah mereka bermula dengan pernyataan seperti berikut :
"Suatu hal yang mengkagumkan ialah bagaimana al-Quran 'menangani' ilmu Sains. Quran yang diwahyukan dalam abad ketujuh kepada Muhammad(saw) mengandungi fakta-fakta saintifik 'yang baru kini ditemui pada abad ini'. Ahli-ahli sains terkagum sahaja apabila mereka ditemukan dengan ketepatan dan kecocokan ayat-ayat al-Quran dengan penemuan sains moden."
Rencana ini akan meneliti hujah diatas. Ia juga akan mengkaji dengan rapi, ayat-ayat al-Quran yang dipetik orang Muslim sebagai kononnya menyokong 'mujizat saintifik' mereka. Kajian ini juga akan meneliti dan membongkar banyak kejanggalan dan kepelikan saintifik yang terkandung di dalam Quran dan Hadis yang disegani dan amat malu disebut-sebut oleh umat Islam - kerana kejanggalannya dan juga kerana amat jauh sekali dari kebenaran!.
Lebih kurang 90 peratus daripada 1 bilion orang Islam pada hari ini terdiri dari kelompok Sunni. Kelompok yang terbesar selepas Sunni ialah puak Shi'ah. Oleh itu, makalah ini akan meneliti dan mengkaji ajaran dan tafsiran kelompok para Sunni, yang merupakan majoriti pengikut-pengikut Islam hari ini. Contohnya, Hadith yang diikuti puak Sunni hari ini adalah hanya diikuti dan diimani oleh ahli Sunni sahaja tetapi ditolak sebulat-bulatnya oleh kebanyakan puak-puak Islam lain yakni ahli Shi'ah, 'Submitters'('Quran only') dan ahli Sufi. Puak Islam Shi'ah, misalnya, memiliki koleksi-koleksi Hadith sahih mereka sendiri, dan hadith-hadith mereka tidak bersetuju dan menolak secara terus-terang dengan 'Hadith Sahih Bukhari atau pun Muslim' dan lain-lain ahadith. Sebenarnya, pada hari ini terdapat lebih daripada 100 JUTA orang yang bergelar Muslim tetapi mereka tidak menerima atau mempercayai koleksi ahadith orang-orang Sunni. Walaupun begitu, kebanyakan perbincangan dalam rencana ini akan menumpukan perhatiannya kepada fahaman dan tafsiran puak Sunni sahaja.
1 ] Ciptaan Bumi
Al-Quran menyebut dalam Surah 50 ayat 38 bahawa:
"Sesungguhnya telah Kami jadikan beberapa langit dan Bumi dan apa-apa yang diantara keduanya dalam enam hari dan Kami tiada merasa payah ..."
Adalah satu hakikat sejarah bahawa nabi Muhammad telah bercampur-gaul dengan umat-umat Yahudi dan Kristian. Dan lagi satu hakikat ialah banyak daripada isi kandungan Quran itu diambil (induknya) daripada AlKitab umat Kristian dan Yahudi. Di nas ini kita diberitahu bahawa - sama seperti catatan dalam Buku Kejadian dalam Alkitab al-Mukkadas - Bumi telah dicipta dalam enam hari.
Para Muslim yang mencuba mencocokkan atau menyelaraskan ajaran al-Quran dengan Sains moden, mentafsirkan bahawa 'Satu hari bagi Allah dan malaikatNya adalah bersamaan dengan 50,000 tahun'. Ini diambil dari surah 70 ayat 4. Jadi, mengikut hitungan matematik, para Muslim cuba menghujah bahawa Bumi telah dicipta dalam 300,000 tahun (6 hari x 50,000 tahun). Teori ini amatlah cetek lojiknya tetapi menarik. Ia menarik kerana perhitungan ini tidak didukung atau disokong oleh kajian Sains Moden! Menurut Sains Moden, ia telah memakan masa selama BEBERAPA BILION TAHUN untuk mencapai keadaan pada hari ini. Berbilion tahun telah berlalu sebelum wujudnya pepohon, dan beribu bilion lagi sebelum wujudnya binatang haiwan!
Surah 70 ayat 4 :
"Malaikat-malaikat dan roh naik kepadaNya dalam SEHARI yang lamanya LIMA PULUH RIBU Tahun."
Ayat ini membawa lebih banyak masalah lagi bagi al-Quran, kerana ayat ini bertentangan secara langsung dengan ayat-ayat Quran lain. Misalnya Surah 32/5 dan surah 22/47 kedua-dua sebut bahawa :
"Sesungguhnya SEHARI disisi TUHAN-Mu seperti SERIBU Tahun dari apa yang kamu hitung."
Jadi, jelaslah dapat dilihat percanggahan dan perselisihan dalam Quran - Sehari itu 50,000 tahun ATAU hanya 1,000 tahun?
Juga, untuk menyatakan bahawa Allah telah mengambil masa selama 300,000 tahun untuk mencipta Bumi merupakan satu PENGHINAAN kepada-Nya. Kerana Dia hanya boleh berkata : "Jadilah engkau" lalu jadilah ia (iaitu Bumi).
"Dia yang menciptakan langit dan BUMI; apabila Dia menghendaki mengadakan sesuatu Dia berkata: Jadilah engkau. Lalu jadilah ia."
Surah 2 ay.117
Bukan sahaja teori Islam di atas ini bercanggah dengan Sains hari ini, malah ia bertentangan dan berselisihan dengan nas-nas Qurannya sendiri!
2 ] "Sains" Embriologi
Pada tahun 1982, Keith Moore, seorang profesor di Universiti Toronto, telah menulis sebuah buku berjudul : "The Developing Human, edisi ke3". Di dalamnya Moore ceritakan kehairanannya dengan 'cerita pertumbuhan embrio di dalam Quran'. Selepas itu, dia telah menulis lagi satu buku yang berjudul "Human Development as described in the Quran and Sunnah" yang amat gemari dipetik oleh ahli-ahli puak Sunni. Mereka ini merujuk kepada ayat Quran tersebut :
"Kemudian Kami jadikan dia air mani (yang disimpan) di dalam tempat yang kukuh. Kemudian mani itu kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan sepotong daging, lalu sepotong daging itu Kami jadikan tulang, lalu tulang itu Kami bungkus dengan daging, kemudian dia Kami ciptakan makhluk yang lain. Maka Maha suci Allah yang sebaik-baik menciptakan."
Surah 23 ay.13,14
Di permukaannya, pernyataan ini kelihatan 'ajaib' untuk dibuat oleh seorang "Arab dari abad ketujuh". Tetapi, apabila ayatnya dianalisa lebih lanjut dan dengan lebih teliti, terdapat penjelasan dan juga kesilapan yang ketara yang timbul bagi ayat tersebut. Mula-mula, kita boleh bertanya jika ayat itu adalah asli, dan kedua, adakah pernyataan itu tepat atau pun benar.
Ramai orang kagum dengan tersebutnya 'air mani' dalam ayat di atas. Tetapi ini bukanlah sesuatu yang istimewa! Jauh lebih lama sebelum timbulnya al-Quran, manusia sudah pun sedar akan wujudnya "Benih" yang keluar daripada buah zakar lelaki, semasa proses persetubuhan. Al-Kitab (Bible), satu Teks yang jauh lebih tua daripada Al-Quran, lebih awal lagi dari Quran telah menyebut tentang seorang lelaki yang dihukumi oleh Tuhan oleh sebab dia "membiarkan air maninya jatuh ke atas bumi". Kejadian 38 : 9-10.
Seluruh cerita tentang pertumbuhan kehidupan manusia dalam al-Quran bukanlah cerita yang asli. Ahli-ahli Sunni cuba mempelopori teori mereka bahawa Muhammad telah mengajarinya sebelum ditemui ahli-ahli sains. Tetapi ahli-ahli Sunni ini malangnya sudah tersilap! Hujah-hujah mengenai pertumbuhan seorang bayi di dalam rahim seorang ibu sudah pun diajari oleh Aristotle 1,000 Tahun sebelum tercatitnya al-Quran! Sebenarnya, Aristotle telah menceritakan dengan tepatnya mengenai tali pusat (umbilical cord) serta fungsinya -sesuatu yang tidak disebut dalam Quran. Ini menunjukkan hakikat bahawa tokoh-tokoh dan ahli-ahli falsafah bukan Islam sudah mengenal dan menganalisa hal-hal saintifik jauh lebih awal daripada Muhammad dan lebih daripadanya. SETIAP sebutan pertumbuhan seorang manusia di dalam al-Quran mengikut teori-teori Roma dan Yunani yang sudah wujud jauh lebih awal lagi! Contohnya, ayat tersebut tentang air mani :
"Ia dijadikan dari air yang terpancar, yang keluar dari antara tulang punggung lelaki dan tulang dada..."
Surah 86:6,7
Kesilapan ayat ini amat jelas dan ketara! Dan ia juga meniru dan menciplak daripada teori-teori yang lebih awal lagi. Pertama, air mani tidak berasal "dari antara tulang punggung lelaki" jika begitu ertinya air mani berpunca daripada Buah Pinggang lelaki! Kami semua tahu hakikat air mani dibuat di dalam buah zakar (testicle) seorang lelaki. Tetapi orang sezaman dengan Muhammad - termasuk dia sendiri- jahil tentang hakikat tersebut! Sebelas abad sebelum munculnya Muhammad, seorang doktor Yunani bernama Hippocrates, menganjur teorinya bahawa air mani melalui buah pinggang sebelum sampai ke buah zakar lelaki. Teori air mani yang salah ini telah diterima tanpa disoal untuk berabad-abad lamanya.
Ada orang yang kata bahawa Muhammad tidak kenal orang-orang Rum atau Yunani. Tetapi, penduduk-penduduk tanah Arab sebelum kedatangan Islam, sudah pun bergaul dan berurusan dengan jajahan Byzantium, Syam, Mesir, Parsi dan juga Babylon. Terdapat juga ramai umat Yahudi dan Kristian yang telah bermastautin di sana. Umat-umat Yahudi dan Kristian ini sudah tentu kenal dan amat biasa dengan tamadun-tamadun Rum dan Yunani. Pada zaman Muhammad, umat Kristian sudah ada perhubungan dengan Rum. Yahudi pula ada pertalian dengan tamadun-tamadun di Babylon dan Parsi. Tidaklah mustahil, malah amat mudah sekali untuk konsep dan teori-teori tamadun-tamadun tersebut, termasuk teori pertumbuhan embrio yang silap itu, sampai kepada telinga Muhammad.
Akhir kata, mengimbas kembali kepada ayat-ayat Quran yang menyentuh pertumbuhan seorang bayi itu, saya akan akui bahawa itu juga adalah salah dan tidak masuk akal. Nas Quran berkata bahawa 'segumpal darah itu Kami jadikan sepotong daging, lalu sepotong daging itu Kami jadikan tulang, lalu tulang itu Kami bungkus dengan daging':Surah 23 ayat 13,14. Sebaliknya, hakikat Saintifik yang sebenar adalah tisu-tisu hidup yang bertumbuh terlebih dahulu, kemudian sahaja diikuti dengan pertumbuhan tulang yang akan semakin membesar dengan penambahan Kalsium bertahun-tahun selepas bayi itu dilahirkan. Jadi, ini menunjukkan satu daripada banyak kepelikan dan kesilapan 'saintifik' al-Quran.
Kepelikan-kepelikan Saintifik di dalam al-Quran dan Hadith.
Untuk mempercayai al-Quran adalah untuk menjadi tidak rasional dan mengabaikan kewarasan fikiran anda. Terdapat banyak mitos-mitos dan kesilapan-kesilapan Saintifik di dalam Al-Quran. Tetapi kebanyakan penganut Islam menerima ajaran-ajaran ini secara membuta sahaja. Dunia saintifik telah mengorak banyak langkah mencapai tahap pemikiran yang matang serta tinggalkan banyak pantang-larang serta sikap kebutaan dan ketakutan hasil daripada tamadun primitif budaya-budaya yang lalu. Malangnya, kerana nas al-Quran disanjung tinggi secara membuta dan tanpa disoal-siasat, maka terdapatlah banyak perkara di dalamnya yang ketinggalan zaman, amat pelik dan tidak tepat jika dibandingkan dengan kebenaran.
Sebagai permulaan, saya akan mengambil contoh daripada budaya Hindu. Menurut tradisi mereka, suatu hari, dewa Siva telah meninggalkan isterinya di rumahnya, isterinya pula telah mengambil kulit sendiri dan menjadikan seorang anak daripada kulit itu. Anaknya merupakan pelindung baginya dan juga rumahnya. Apabila Siva kembali ke rumahnya, anak itu telah dibunuhnya kerana dia telah menghalang Siva daripada memasuki rumahnya sendiri. Jadi, isteri Siva pun menjadi amat marah, dan Siva telah keluar dan memancung kepala seekor gajah dan mencantumkannya dengan tubuh anak yang telah dibunuhnya itu. Itulah sebabnya kenapa dewa Hindu Ganesh mempunyai tubuh seorang manusia tetapi berkepala gajah!
Adakah mana-mana orang Muslim yang mempercayai cerita ini ? Tentu Tidak! Ini adalah satu mitos, satu cerita dongeng yang tidak masuk akal dan tidak benar. Mitos ini telah direka oleh suatu budaya primitif. Jika amat mudah untuk menanggap mitos ini sebagai satu dongeng, umat Islam sendiri amatlah malang kerana mereka membuta kepada dongeng-dongeng di dalam nas Kitab Suci mereka sendiri. Marilah kita melihat beberapa contoh-contoh kesilapan-kesilapan Sains dan kesilapan fakta-fakta yang terdapat di dalam Al-Quran.
3 ] Cerita Pertuturan yang Sempurna Hazrat Isa Almasih semasa Baginda Seorang Bayi
Dalam Surah 19 ayat 29 -33, Al-Quran memberitahu bahawa Isa sebagai seorang bayi telah berbicara dengan sempurna dengan ibunya Maryam semasa dalam buaian. Kita semua tahu bahawa peristiwa ini tidak terjadi - menurut catatan dan rekod dalam Kitab Injil. Sebaliknya, seorang kanak-kanak seperti Hazrat Isa terlebih dahulu telah belajar bertutur dan berucap dengan betul, sebelum baginda boleh berbicara apa-apa dengan ibu-bapanya. Sebaliknya, catatan Al-Quran itu diambil daripada satu lagenda, satu mitos yang telah diterima oleh nabi Muhammad lalu diletakkannya ke dalam Al-Quran.
Lain-lain Kepelikan Sains di dalam al-Quran dan Hadith
4 ] Pokok dan Batu yang Bercakap
Hadith Sahih Muslim, Kitab 40, Nombor 6985:
Abu Hurairah telah Melapurkan :
Rasulullah (saw) berkata : 'Hari Kiamat tidak akan tiba sehingga para Muslim berperang dengan umat Yahudi. Umat Muslim akan membunuh orang-orang Yahudi sehingga mereka akan menyembunyikan diri disebalik batu atau pokok. Maka batu atau pokok itu akan berkata-kata : "Hai Muslim atau hamba Allah, ada seorang Yahudi disebalik saya. Marilah dan bunuh dia." Tetapi Pokok Gharqad tidak akan berkata apa-apa, kerana ia adalah pokok bangsa Yahudi.'
Seorang yang berfikiran waras dengan mudah dapat mengenepikan Hadith ini sebagai karut! Jelaslah ia miliki banyak kesilapan. Mula-mula, cerita pokok dan batu yang bercakap-cakap berpunca daripada sumber cerita dongeng dan mitos. Bagi sepohon pokok atau seketul batu untuk berbicara atau cakap, ia memerlukan otak, paru-paru, kotak suara dan lidah; disamping pemahaman Bahasa yang dituturkannya ! Lebih teruk lagi kekarutannya ialah : sepohon pokok yang bernama 'Gharqad' yang akan memihak kepada umat Yahudi !
5 ] Awan yang Bercakap
Tidak mencukupi dengan ide-ide janggal seperti pepohon dan batu-batan bercakap, al-Quran juga mengajari tentang awan yang bercakap. "Allah berkata kepada langit dan bumi : Datanglah kamu berdua, baik dengan patuh atau dengan terpaksa. Sahut keduanya, 'kami datang dengan patuh'." Surah 41 ayat 11. Ramai pembaca-pembaca tidak mengindahkan ayat ini, tetapi apabila kita mengkajikanya lebih lanjut, ia menimbulkan banyak lagi soalan yang sukar dijawab. Seperti: Bilakah wap air itu memiliki kesedaran? Adakah molikul air itu benda yang hidup? Dengan dua atom hidrojen dan satu atom oksigen; di manakah letaknya otaknya dan mana pula mulutnya ?
Cerita tentang benda-benda yang tidak hidup, tetapi beraksi seolah-olah organisma hidup, banyak terdapat dalam al-Quran. Ada cerita gunung-ganang yang takut (surah 33:72). Ketakutan, suatu emosi yang terhasil daripada reaksi kimia di dalam otak. Apakah Gunung-ganang, dicipta daripada batu, pasir dan debu mempunyai otak dimana reaksi-reaksi kimia ini berlaku ?
6 ] Tempat Matahari Terbenam "di Bumi"
Al-Quran dengan kata-kata yang jelas menyatakan bahawa seorang hamba Tuhan telah melihat Matahari terbenam ke dalam suatu 'mata air yang berlumpur hitam' dan di situ pula dia terjumpa dengan sekumpulan manusia. Ayatnya seperti berikut:
"Sehingga, apabila dia sampai di tempat terbenam Matahari, didapatinya matahari itu terbenam dalam mata air yang berlumpur hitam. Di sana didapatinya satu kaum. Kami berkata : Hai, Zulkarnain, adakalanya engkau siksa (kaum yang kafir itu) atau engkau perlihatkan kepada mereka kebaikan..."
Surah al-Kahfi 18 ayat 86
Adakah Matahari itu sebenarnya terbenam kedalam sebuah mata air yang berlumpur hitam? Menurut nas al-Quran di atas, begitulah hakikatnya.
Ini merupakan satu kesilapan sains dan kekarutan yang besar dalam al-Quran. Seorang manusia berjalan-jalan di bumi sehingga terjumpa dengan tempatnya Matahari terbenam-sebuah mata air yang berlumpur ! Menurut Sains serta ilmiah moden, Bumi yang berputar mengelilingi Matahari. Nas Quran di atas pula mengajar pertentangannya, bahawa matahari yang berputar, sehingga ia terbenam di Bumi! Jikalau Matahari bersentuhan dengan muka bumi ini, segala-galanya di bumi akan hangus terbakar! Juga, semua kehidupan yang ada akan mati serta-merta. Inilah satu lagi contoh jelas di mana terdapat ajaran-ajaran di dalam al-Quran yang tidak benar sama sekali dan tidak memihak kepada kebenaran.
7 ] Jin adalah Pemberita-pemberita Maklumat dari Syurga ! Dan Bintang-bintang boleh melempari mereka...
Satu lagi kepelikan ialah makhluk dalam Quran yang disebut sebagai jin. Umat Islam percaya bahawa jin-jin ini berdiri di atas bahu masing-masing sehingga mencapai menjangkau Syurga. Dari sana, mereka dapat mendengari perbincangan yang sedang diadakan. Ada Hadis yang dikisahkan oleh Aisha (Sahih Bukhari Jilid 9, Kitab 93, Nombor 650) yang mengatakan para dukun dan bomoh menerima sebahagian maklumat mereka dari Jin yang secara sembunyi-sembunyi mendapatkan maklumat mereka dengan memasang telinga mereka di ambang Syurga!
Surah 37 ay.6-8 berkata :
"Sesungguhnya Kami menghiasi langit yang hampir kedunia dengan perhiasan bintang-bintang. Dan untuk memeliharakan daripada tiap-tiap syetan yang durhaka. Mereka tidak dapat mendengar ke alam yang Mahatinggi, dan mereka dilempari dari tiap-tiap penjuru.."
Quran juga mengajari bahawa bintang-bintang diciptakan untuk melempari syetan-syetan supaya mereka tidak dapat mendengar apa yang dibincangkan di syurga. (Surah 67/5).
Pertamanya, jika Jin boleh menjangkau syurgawi dengan berdiri di atas bahu jin-jin lain, ertinya Syurga itu adalah pada jarak yang tetap dari Bumi. Jika ini benar, pada suatu hari nanti kita boleh terbang ke Syurga dengan menduduki pesawat space shuttle, atau melihatkannya melalui teropong teleskop! Lebih teruk lagi adalah kekarutan yang diajari, bahawa bintang dan tahi bintang boleh dijadikan lembing-lembing untuk melempari jin-jin itu! Pada hakikatnya, bintang-bintang tidak boleh bergerak, tetapi orang-orang Arab pada abad ke-7 tahun Masehi buta sains dan juga buta astronomi, dalam kejahilan mereka telah kelirukan tahi bintang dengan bintang-bintang. Penulis-penulis al-Quran dan Hadis telah mengelirukan 'tahi bintang' dengan bintang, dan mempelopori ajaran salah itu dalam Surah 37, 67 dsb, walhal mereka adalah dua hakikat yang berlainan.
8 ] Manusia Dapat Memahami Bahasa-bahasa Serangga dan Binatang-binatang
Menurut Quran, seorang manusia telah dapat memahami bahasa binatang-binatang. Kata surah 27/18-19 :
"Sehingga apabila mereka sampai kelembah semut, lalu berkata raja semut: 'Hai sekalian semut, masuklah kamu kedalam rumahmu, supaya kamu tidak dihancurkan oleh Sulaiman dan tenteranya'...Lalu Sulaiman tersenyum serta tertawa, kerana mendengarkan perkataannya ..."
Walaupun pakar-pakar Zooloji telah berusaha mencari kaedah-kaedah serta cara berkomunikasi dengan beruk dan ungka, tidak ada mana-mana manusia yang telah dapat memahami "bahasa" spesies makhluk lain selain daripada spesies manusia. Kebolehan untuk berbicara seperti seorang manusia dicapai oleh pembentukan otak yang unggul dengan corak pemikirannya yang kompleks. Corak pemikiran kompleks ini tidak dimiliki oleh kebanyakan haiwan-haiwan yang lain. Jadi, untuk mengajar bahawa manusia dapat memahami "percakapan makhluk/haiwan spesies lain" adalah amat tidak masuk akal sekali!
Lebih teruk lagi kekarutan yang dianjurkan oleh Qu'ran bila ia kata manusia ini boleh memahami 'bahasa semut'! Adalah satu hakikat saintifik bahawa semut tidak mempunyai corak percakapan. Mereka berkomunikasi dengan mengesan jejak-jejak kimia, serta cara-cara penghiduan dan pembauan atau penyentuhan yang lain. Jadi semut sebenarnya berkomunikasi melalui penghiduan dan BUKAN gelombang-gelombang bunyi. Di gurun yang gersang tanah Arab pada abad ke-7 Tahun Masehi, kejahilan ini telah menyebabkan ajaran janggal yang tidak masuk akal diatas! Justru itu, kejahilan mengenai dunia haiwan ini juga membuktikan gubahan teks Kitab ini di tangan manusia sebenarnya, dan sekaligus memustahilkan teori sumber ilahi bagi Kitab tersebut. Tuhan Allah, yang Maha mengetahui, sudah tentu tidak akan melakukan kesilapan fakta-fakta seperti di atas ini.
9 ] Bulan dan Bintang adalah Lampu-lampu dan Pelita
Qu'ran menyebutkan bahwa Allah telah menciptakan langit bertingkat-tingkat atau berlapis-lapis. Dia menciptakan tujuh langit, dan menghiasi langit yang terendah dengan pelita (Surah 67:3-5) dan memperindahnya dengan perhiasan bintang-bintang (Surah 37:6). Qur'an juga mengatakan bahwa bulan berada di dalam ketujuh langit ini (Surah 71:15-16). Jika bintang-bintang (lampu-lampu) berada di langit yang terendah, mereka adalah lebih dekat ke bumi berbanding dengan bulan, atau sekurang-kurangnya memiliki jarak yang sama terhadap bumi sebagaimana bulan. Kedua-duanya hujah ini secara ilmiah adalah salah dan tidak benar sama sekali. Adalah suatu kenyataan yang sudah diketahui ilmu Sains bahwa bintang-bintang berada di jarak lebih jauh lagi daripada Bumi, jika berbanding dengan jarak bulan dari Bumi.
10 ] Binatang Seperti Monyet Islam Harus Direjam Seperti Manusia
Hadith berikut ini berbicara tentang para monyet yang kononnya adalah Muslim:
Hadith Sahih Bukhari Jilid 5, Kitab 58, Nombor 188:
Disampaikan oleh 'Amr bin Maimun:
"Pada zaman jahiliyah sebelum Islam saya menyaksikan seekor monyet betina dikelilingi oleh sejumlah monyet-monyet lain. Mereka semua melemparinya dengan batu, kerana monyet betina itu telah melakukan perzinahan. Saya pun, ikut melempari batu bersama mereka."
Ini adalah syariat dalam Islam bahwa wanita yang melakukan perzinahan mestilah direjam (dilempari batu). Menurut Hadis Sahih Bukhari di atas para monyet juga dikenai hukum ini. Hukum-hukum syariah apa lagi yang wajib diikuti oleh para monyet? Apakah mereka juga diwajibkan untuk melakukan ziarah ke Mekah? Apakah mereka diwajibkan membaca Qu'ran? Apa yang merupakan perzinahan dalam dunia monyet? Sebenarnya, ini hanyalah cerita dongeng semata-mata. Ia mirip dengan cerita yang terdapat dalam Ramayana, suatu syair dan epik kepahlawanan Hindu kuno, yang berkisah tentang monyet Hanuman, dan bangsanya, bertarung untuk menguasai kerajaan monyet.
11 ] Kebolehan Wanita dan Anjing Untuk Membatalkan Solat
Terdapat Hadith Sahih Bukhari - Jilid 1, Kitab 9, Nombor 490 menyatakan bahawa Jika seorang wanita atau pun seekor anjing berlalu di depan kamu semasa kamu menjalankan doa dan solat anda, doa-doa itu tidak akan sampai ke Syurga! Implikasi Hadis ini berbau dengan chauvinisma terhadap wanita dan binatang. Lebih-lebih lagi, aspek saintifiknya juga cukup janggal dan amat mencurigakan serta tidak benar. Apakah dalam kuasa Wanita atau haiwan seperti Anjing yang boleh membatalkan doa ?? Adakah doa para Muslim dibawa oleh sejenis gelombang sonik yang boleh diganggu dan dibatalkan oleh wanita DAN anjing khususnya ?? Amat jelaslah tiada bukti saintifik langsung bagi mitos dan kekarutan hadith ini! Tidaklah heran, kerana terdapat banyak rujukan hadith lain yang menyatakan anjing itu 'jahat' dan harus dibunuh. HSB jilid 4, kitab 54 bernombor 540 berkata "Rasulullah perintahkan supaya anjing-anjing itu harus dibunuh."
12 ] Arahan-arahan yang Tidak Seimbang bagi Binatang-binatang
Apabila sampai kepada pembunuhan binatang, berlaku hukum-hukum yang macam-macam bagi jenis-jenis haiwan yang berbeda. Anjing harus dibunuh serta-merta, tetapi seekor ular diberikan peringatan kali pertama secara lisan jika datang ke rumah kamu. Jika ular itu datang untuk kedua kalinya, maka bunuhnya(Sunan Abu Dawud Kitab 41,Nombor 5240)! Terdapat hal yang menarik berkenaan dengan Hadith ini. Hari ini, melalui ilmu Sains kita mengetahui HAKIKAT bahwa seekor ular tidak dapat mendengar. Adalah cukup buruk dan janggal untuk menganggap bahwa binatang apapun akan memahami bahasa lisan manusia, tapi menganggap bahwa seekor binatang yang pekak, seperti ULAR akan memahami, adalah tidak masuk akal serta amat karut sekali. Sama saja dengan menulis pesan kepada seekor kelawar, dan meninggalkannya di pintu rumah sehingga si kelawar akan membacakannya kemudian.
13 ] Air Tidak Dapat dicemari oleh Apa-apa Kekotoran
Hadith berikut ini menunjukkan amalan-amalan kebersihan yang buruk Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya:
Sunan Abu Dawud Kitab 1, Nombor 0067:
Dilapurkankan oleh Abu Sa'id al-Khudri:
"Saya mendengar bahwa orang bertanya Nabi Allah (saw): 'Air diambilkan untukmu dari perigi Buda'ah. Itu adalah salah satu perigi dimana mayat anjing, kain pembalut haid wanita dan najis manusia dibuang. Nabi Allah (saw) menjawab: Sesungguhnya air adalah murni dan tidak dicemar oleh apa-apa pun."
Persoalan di sini bukan sahaja kesihatan, namun lebih kepada kurangnya pemahaman ilmiah dan sains kesihatan yang sebenar. Jelas bahawa saranan Islam diatas adalah jahil dan buta tentang hakikat bakteria, virus, dan kuman-kuman lain yang hidup dalam air. Kekotoran serta najis tubuh badan adalah penyebab utama air menjadi tercemar Escherichia coli (E. coli), bakteria yang biasanya terdapat dalam usus besar (kolon) yang boleh membunuh manusia bila termakan. Air yang tercemar mayat anjing atau pun cairan haid juga memudaratkan sama bahayanya.
Kesimpulan
Dalam zaman sains dan teknoloji yang sudah maju hari ini, umat Islam sedang terdesak mencari alasan-alasan menutupi kesilapan-kesilapan dan kejanggalan-kejanggalan saintifik jelas seperti yang terdapat di dalam al-Quran dan Hadis di atas. Para Muslimin cuba menyebutkan mujizat-mujizat ilmiah yang dinyatakan tanpa bukti di dalam Qur'an dan Hadis untuk mencuba buktikan dasar keilahian al-Qu'ran mereka. Dalam kajian singkat mengenai "ilmu Sains" Islam ini, pernyataan-pernyataan ini dengan jelas telah ditolak.Al-Qu'ran sendiri menyangkal sumber keilahiannya jika dapat dijumpai di dalamnya hanya satu perkara yang tidak benar, perselisihan atau kesilapan - Surah 4/82 :
"Tidakkah mereka memperhatikan al-Qu'ran? Kalau sekiranya, ia dari sisi lain Allah, nescaya mereka peroleh di dalamnya perselisihan yang banyak."
Dari atas, sudah dihurai sekurang-kurangnya tiga-belas kesilapan. Lapan kesilapan daripada al-Quran dan lima daripada Hadith. Lapan daripada al-Quran itu termasuk juga perselisihan dengan ayat-ayat Quran sendiri. Ya, kami sudah memperhatikan dan mengkaji al-Qu'ran dengan berhati-hati, tetapi kami juga telah temui perselisihan diantara nas-nasnya sendiri. Bukan itu saja, malah Quran juga ada perselisihan ketara dengan fakta-fakta sains. Juga terdapat perselisihan nyata diantara al-Quran dengan Sejarah, dan juga perselisihannya dengan kebenaran secara amnya. Jelas tidak ada kekuatan ajaib atau ilahi yang memberikan nabi Muhammad pengetahuan 'ilmu saintifik'. Malah, maklumat yang ditonjol-tonjolkan sebagai saintifik itu sudah terbukti sebagai sangat jahil, buta sejarah dan buta sains serta tidak memihak kepada kebenaran sama sekali! Sementara kaum Muslim mendebat bahwa pengetahuan ilmiah yang sudah maju dalam Qur'an itu adalah merupakan tanda dari keilahian asal mereka, pemikir-pemikir yang waras serta pakar-pakar sains dan tokoh-tokoh lain mendapati bahwa kesilapan-kesilapan fakta, perselisihan serta kekeliruan ilmiah yang banyak dan nyata itu menunjukkan kepada asalnya yang sesungguhnya daripada tangan dan kata-kata manusia sahaja tetapi mustahil daripada Tuhan.
[Sebahagian Makalah ini diterjemahkan dari rencana seorang bekas Muslim, Denis Giron, dengan kebenarannya.]